BENTONG – Calon Perikatan Nasional (PN) sudah menemui semua bakal pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dan kini memasuki kempen pusingan kedua.
Calon nombor 1 dalam kertas undi itu, Kasim Samat berkata, pihaknya menerima sambutan luar biasa daripada penduduk di sekitar Felda dan kampung-kampung tradisional.
Beliau turut menyantuni penduduk kampung Orang Asli, penduduk Cina dan India di DUN Pelangai di mana sambutan yang positif membuatkannya akan terus ‘berjuang’ sehingga saat akhir.
”Pusingan pertama sudah habis. Sekarang masuk pusingan kedua bertemu pengundi Pelangai. Kempen berjalan lancar dan sambutan pengundi sangat positif dan luar biasa berbanding semasa saya bertanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
”Rakyat sudah terbuka, mereka sudah pandai, ketika berkempen tidak perlu ulas banyak-banyak, mereka boleh tengok media sosial. Isu harga barang dan hubungan dengan kerajaan DAP,” katanya ketika ditemui di Felda Sungai Kemahal semalam.
Kasim mengakui sesi walkabout dan ziarah rumah ke rumah lebih berkesan untuk memancing undi rakyat.
PRK Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Cikgu Kasim, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam dan Haslihelmy DM Zulhasli (Bebas).
Pada 7 Oktober nanti, seramai 16,456 pengundi bakal menunaikan tanggungjawab bagi membuang undi. – MalaysiaGazette