Superintendan Ashari Abu Samah.

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan satu kegiatan pemalsuan dokumen yang menawarkan perkhidmatan bagi mendapatkan pinjaman kewangan dengan pihak bank.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superitendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya telah melakukan serbuan di sebuah premis yang beralamat di Jalan Gombak, Setapak.

Katanya, serbuan dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju bersama-sama Jabatan Siasatan Jenayah Komersil  Kuala Lumpur.

“Seramai 10 individu warga tempatan berusia antara 21 hingga 36 tahun telah berjaya ditangkap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Turut dirampas tiga set komputer, (77) keping kad ATM pelbagai bank, (10) unit telefon bimbit, (43) cop getah atas nama pelbagai syarikat dan beberapa pukal dokumen bank, SSM, CTOS dan penyata gaji atasnama pelanggan yang disyaki digunakan dalam menjalankan kegiatan pemalsuan dokumen.

Ashari berkata, siasatan awal mendapati, ahli sindiket terbabit menawarkan melalui laman sosial perkhidmatan kepada individu yang ingin mendapatkan pinjaman wang dari institusi bank tempatan dengan memalsukan dokumen untuk dikemukakan kepada pihak bank.

Ujarnya, sindiket terbabit telah beroperasi selama empat tahun di sekitar Kuala Lumpur.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan adan kesemua tangkapan ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, Ashari menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan tawaran dari mana-mana pihak yang tidak dikenali.

Maklumat berkenaan sindiket penipuan melalui National Scam Response Center (NSRC) di talian 997, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585, CCID Scam Response Center di talian 03-2610 1559/1599, Whatsapp CCID Infoline di talian 013-2111 222 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.-  MalaysiaGazette