SERDANG – Petronas Dagangan Berhad melancarkan program kesetiaan Mesra Rewards tanpa kad yang baharu hari ini, dengan menawarkan lebih banyak kemudahan kepada para pelanggan.
Ketua Pegawai Operasinya, Khalil Muri berkata, program baharu tersebut membolehkan lebih lima juta ahli Mesra menerima sehingga tiga kali ganda mata Mesra, selain penebusan minyak secara percuma dan banyak ganjaran lain.
Menurut beliau, kaedah digital digunakan sepenuhnya di mana pelanggan hanya perlu memasukkan nombor telefon mereka di pam atau di dalam kedai Mesra.
“Pelanggan yang menggunakan aplikasi Setel ada kelebihan kerana mereka dapat mengumpul sehingga tiga kali ganda mata Mesra.
“Kad Mesra sedia ada masih boleh digunakan seperti biasa cuma kami tidak lagi mengeluarkan kad fizikal untuk ahli-ahli baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran program kesetiaan baharu Mesra Rewards dan kempen Mesra Bonanza 2023 di Stesen Petronas Solaris Serdang di sini, hari ini.
Pelancaran program disempurnakan oleh Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan, Azrul Osman Rani.
Khalil memberitahu, pengguna aplikasi Setel juga boleh menebus mata Mesra untuk mendapatkan ganjaran lain seperti baucar barangan runcit, langganan penstriman digital, makanan dan minuman, penginapan hotel serta insurans perjalanan.
Beliau menambah, Petronas Dagangan sentiasa berusaha memperluaskan rangkaian rakan perniagaannya untuk memberi lebih banyak pilihan kepada ahli-ahli Mesra.
Sementara itu, Khalil berkata, kempen Mesra Bonanza 2023 yang dilancarkan dengan kolaborasi Visa akan bermula pada 15 Oktober ini hingga 15 Januari 2024.
Menurut beliau, kempen tersebut menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM700,000 termasuk hadiah utama iaitu perjalanan yang ditanggung sepenuhnya ke Paris. – Malaysia Gazette