BENTONG – Bahang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai menghampiri penghujung yang sepatutnya kian panas namun apa yang berlaku sebaliknya.
Ceramah Perdana Perikatan Nasional (PN) yang menampilkan Datuk Seri Hamzah Zainuddin semalam, sendu apabila kebanyakan kerusi yang disediakan tidak diisi sehingga selesai ceramah sebelum jam 12 malam.
Turut hadir Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Situasi sama ini pernah berlaku pada awal kempen semasa Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man hadir ke Pelangai pada 25 September lalu.
Meskipun khemah besar didirikan bagi memuatkan kira-kira 300 orang, tetapi jumlah boleh dibilang dengan jari.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut ketika berucap dalam ceramah itu menceritakan pengalaman perjalannya untuk memasuki kawasan Pelangai.
”Rupa-rupanya Kampung Pelangai ini susah nak mari. Saya berjalan dari Karak sampai je Kampung Chemomoi, saya jumpa Datuk Saifuddin, Panadol tok..
”Dia kata nak buat apa Panadol? Dia kata jangan pusing-pusing tak nak lah.
”Orang Pelangai semua kedai mesti ada jual Panodol. Sebab panadol lah boleh menyebabkan rasa sihat sikit,” selorohnya.
Ketua Pembangkang itu hadir ketika menyampaikan ceramah Perdana Pelangai Sedia Berubah di Dataran Purnama, Simpang Pelangai malam tadi.
PRK Pelangai akan diadakan pada Sabtu ini membabitkan pertembungan tiga penjuru antara Kasim Samat (PN) dicabar Datuk Amizar Abu Adam (BN) dan Haslihelmy DM Zulhasli. – MalaysiaGazette