Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid bercakap pada media mengenai kejayaan menangkap kes komersial dan kes mencuri oleh pasukan polis di IPD Sentul, Kl. Foto QURRATU AINI, 5 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Kegiatan sindiket  terlibat dalam aktiviti penipuan dalam talian dengan mengutip derma menggunakan nama dan akaun persatuan dan syarikat berjaya dibongkar polis.

Ketua Polis Kuala Lumpur,  Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pembongkaran itu ekoran Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada 4 September lalu telah menyerbu sebuah premis di Kepong.

Serbuan berdasarkan hasil risikan itu berjaya membawa kepada tangkapan seramai 55 individu yang terdiri daripada 34 lelaki dan 21 wanita tempatan disyaki terlibat dalam penipuan kutipan derma secara dalam talian.

“Kesemua tangkapan suspek itu adalah berusia lingkungan 18 hingga 42 tahun,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah Allaudeen, hasil tangkapan seterusnya berjaya membawa kepada rampasan sebanyak 54 unit komputer riba, 126 unit telefon bimbit, 108 buku resit, dua set modem router, skrip dan rakaman perbualan pemanggil dengan mangsa juga ditemui dalam salah sebuah komputer riba.

Siasatan awal polis mendapati sindiket berkenaan berperanan sebagai pemanggil yang menghubungi mangsa iaitu penderma individu atau syarikat untuk menghulurkan derma kononnya kepada beberapa badan kebajikan.

“Sindiket terbabit turut mengiklankam derma kebajikan melalui laman Facebook untuk meraih simpati penderma kemudian kutipan derma akan dimasukkan ke dalam beberapa akaun persatuan kebajikan yang diarahkan oleh sindiket.

“Manakala setiap ahli sindiket akan menerima 10 hingga 20 peratus komisen daripada kutipan derma jika ia mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya lagi.

Tegas Allaudeen, polis sedang menyiasat kes berkenaan  bagi menentukan sama ada setiap persatuan terlibat itu sama ada mereka  sedar akan nama persatuan digunakan oleh sindiket untuk kegiatan penipuan itu ataupun tidak.

Kesemua suspek kini ditahan reman sehingga 6 hingga 8 Oktober ini untuk disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast