Khalil Muri Petronas Dagangan
COO Petronas Dagangan, Khalil Muri berucap pada majlis pelancaran Mesra Rewards di Stesen Petronas Solaris Serdang, Seri Kembangan Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 5 OKTOBER 2023.

SERDANG – Petronas Dagangan Berhad menunggu keputusan kerajaan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang persiapan mengenai pelaksanaan subsidi minyak bersasar.

Ketua Pegawai Operasinya, Khalil Muri berkata, ia bergantung kepada kerajaan sama ada akan meneruskan program tersebut atau sebaliknya.

“Saya pasti mereka akan berikan kita masa yang banyak,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran program kesetiaan baharu Mesra Rewards dan kempen Mesra Bonanza 2023 di Stesen Petronas Solaris Serdang di sini, hari ini.

Kerajaan dijangka melaksanakan pemberian subsidi bersasar, termasuk untuk petrol RON95 dan diesel, mulai tahun depan.

Pelancaran program disempurnakan oleh Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan, Azrul Osman Rani.

Sementara itu, Khalil memberitahu, Petronas Dagangan merancang untuk menyediakan lebih banyak tempat pengecasan kenderaan elektrik (EV) di stesen Petronas.

Menurut beliau, setakat ini, terdapat 25 tempat pengecasan EV yang disediakan stesen Petronas melalui kolaborasi dengan Gentari di seluruh negara dan kebanyakannya di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

“Kita merancang untuk tambah lagi kerana kita melihat pada masa akan datang terdapat lebih banyak EV,” jelasnya.

Berhubung jumlah yang bakal ditambah, Khalil menambah, ia bergantung kepada hasil kajian yang akan menentukan kecenderungan pengguna mengecas EV sama ada di rumah, stesen minyak atau kompleks beli-belah.

Mengenai tempoh pelaksanaan, beliau berkata, ia bergantung kepada polisi dan kemampuan syarikat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast