Lelaki Myanmar ketika dibawa ke Mahkamah Majistret KL pagi hari ini untuk menghadapi pertuduhan membunuh penjual buah warga emas berusia 80 tahun.

KUALA LUMPUR – Seorang buruh warga asing didakwa di Mahkamah Majistret, hari ini, atas kesalahan membunuh seorang penjual buah warga emas pada bulan lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, Shofi Husson Rahman, 27, didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian terhadap Ah Kau@Yow Chow Chong yang berusia 80 tahun.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan jenayah itu pada kira-kira jam 6.30 petang 26 September 2023 di rumah no 108, Jalan Hujan Emas 5, Taman OUG Brickfields.

Shofi Husson boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dihukum mati atau dengan pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang daripada 10 tahun tetapi tidak lebih daripada 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati hendaklah juga dihukum dengan sebat tidak kurang 12 sebatan.

Shofi Husson hanya mengangguk memahami pertuduhan terhadapnya selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Atiqah Mohamed kemudian menetapkan 24 November ini untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette