Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee membidas kenyataan Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang mendakwa mengedarkan beras putih tempatan adalah sah  disebabkan arahan yang diberikan.

Beliau berkata, kenyataan tersebut membuktikan Aminuddin Zulkipli tidak memahami peranan agensi berkenaan dalam mengedar beras putih tempatan.

Jelas Ronald yang juga Pengerusi Jawatankuasa Portfolio Pertanian Perikatan Nasional (PN), lembaga itu ditubuhkan di bawah Akta Pemasaran Pertanian Persekutuan 1965 [Akta 141] dengan fungsinya memasarkan apa-apa agricultural produce (keluaran pertanian) kecuali nanas, getah, minyak kelapa sawit, padi, beras dan tembakau.

Katanya, peranan tersebut jelas diperuntukkan menerusi seksyen 2 Akta 141.

“Pada 2022, kerajaan PN telah meminda seksyen 2 ini dengan memberikan kuasa kepada FAMA untuk mengedarkan haiwan, karkas (bahagian ternakan yang disembelih) dan penghasilan daripada haiwan itu.

“Pindaan ini dibentangkan, dibahaskan dan diluluskan oleh Parlimen sebelum ia berkuat kuasa pada 1 Ogos 2023. Pindaan ini diperlukan bagi membolehkan FAMA melaksanakan tugasnya di bawah kuasa undang-undang yang sah dan tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak kerana ia melibatkan pengunaan wang rakyat dalam operasi FAMA,” katanya dalam satu kenyataan.

Ronald berkata, berdasarkan akta berkenaan dalam subseksyen 3(4) menyatakan menteri berkaitan hanya boleh memberi arahan yang tidak bercanggah dengan fungsi agensi tersebut.

Mengulas lanjut, beliau berkata, FAMA tidak sepatutnya melanggar peruntukan undang-undang tersebut khususnya tidak boleh memasarkan atau mengedar beras.

“Menteri boleh memberi kepada pihak berkuasa arahan yang bersifat umum, tidak bercanggah dengan akta ini, tentang penjalanan fungsi pihak berkuasa.

“Adalah jelas arahan yang diberikan oleh menteri kepada FAMA tidak boleh melanggar peruntukan Akta 141. Oleh yang demikian, FAMA tidak boleh memasarkan atau mengedarkan beras dan Menteri tidak boleh mengarahkan FAMA untuk mengedarkan beras kerana Akta 141 tidak membenarkan FAMA berbuat demikian,” katanya lagi.

Semalam, Aminuddin dilaporkan berkata, FAMA diarahkan membantu mengagihkan makanan ruji berkenaan kerana berpengalaman mengurus krisis bekalan ayam dan telur sebelum ini.

Pemilihan dibuat oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Ia susulan daripada kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini yang mendakwa arahan kepada FAMA dalam isu bekalan beras dilihat membebankan peranan dan tugas agensi berkenaan yang selama ini bertanggungjawab dalam pemasaran produk agro-makanan antaranya sayur-sayuran.- MalaysiaGazette