BENTONG – Calon Barisan Nasional (BN) mengingatkan Perikatan Nasional (PN) supaya jangan terlalu yakin yang pengundi luar akan memihak mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai .
Datuk Amizar Abu Adam berkata, BN juga mempunyai pendekatan tersendiri bagi menangani pengundi luar DUN Pelangai yang pulang menunaikan tanggungjawab nanti.
Beliau turut menasihatkan pengundi luar supaya memikirkan nasib warga Pelangai sebelum membuat keputusan.
“Jangan terlalu yakin pengundi luar semua kepada mereka. Kita pun ada cara kita dan kita pun ada cara nak menyelesaikan pengundi luar ini.
“Namun yang penting pengundi luar kena faham, dia sudah lepas mengundi dia balik. Yang tinggal emak, ayah dan kawan-kawan dia.
“Yang duduk sini kalau ada masalah siapa menanggung? Pengundi luar kena faham kalau dia undi BN lagi bagus,” katanya ketika ditemui semasa berkempen di Felda Kemahal di sini semalam.
Selain itu, anak Pelangai itu mengingatkan agar warga Felda agar tidak lupa asal usul mereka mengenang jasa tanah rancangan kepada negara.
Tiga Felda di Pelangai merupakan Felda Sungai Kemahal, Felda Chemomoi dan Felda Sungai Kemasul. – MalaysiaGazette