Tun Dr. Mahathir ketika bertemu pemimpin Kelantan

KUALA LUMPUR – Kelantan boleh menarik pelaburan luar sekiranya mampu menyediakan kemudahan asas yang baik seperti sistem jalan raya, bekalan air dan elektrik.

Penasihat ‘State-Goverment 4’ (SG4), Tun Dr. Mahathir Mohamad menyampaikan pandangan tersebut semasa bertemu dan berbincang dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud, semalam.

Pertemuan yang berlangsung di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan itu adalah sebagai sebahagian program SG4 dan turut dihadiri ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Perbincangan tertumpu kepada usaha untuk meningkat pelaburan, penggunaan tanah sebagai modal selain penyelesaian kepada isu bekalan air bersih.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, Kelantan sendiri mampu membekalkan tenaga kerja apabila industri dibuka di negeri itu.

Ini kerana ramai orang Kelantan yang berhijrah ke Lembah Klang bagi memenuhi ruang pekerjaan dalam pelbagai industri.

“Kelantan merupakan negeri orang berniaga. Rata-rata penduduk di sini terlibat dalam aktiviti perniagaan dan kebanyakannya ialah industri kecil-kecilan.

“Juga tidak banyak industri kilang dari luar negara bertapak di sini, kecuali syarikat ROHM-Wako Electronics dari Jepun yang asalnya di Selangor tetapi memilih berpindah dan buka kilang di Kota Bharu pada tahun 1989,” kata Mahathir.

Dr. Mahathir Mohamad berkesempatan melihat penyediaan nasi berlauk.

Selesai mesyuarat, beliau singgah ke restoran Nasi Berlauk Kak Chik yang berasal dari Kampung Berangan Masjid, Tumpat.

Petugas mula memasak seawal pukul 3 pagi dan makanan yang dimasak tadi dibungkus sehingga 10,000 sehari dan kemudian dijual di kedai selain dihantar ke sekitar Lembah Klang dengan menggunakan kapal terbang atau kereta

“Sememangnya orang Kelantan ini sinonim dengan berniaga. Mereka ini cekap dalam peluang perniagaan dan sanggup ambil risiko.

“Insya-Allah negeri ini akan makmur dan berjaya jika sumber negeri dan kebolehan rakyatnya diperkenal dengan baik,” kata Mahathir.

SG4 adalah negeri yang ditadbir oleh Perikatan Nasional dan diterajui Pas membabitkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Mahathir sebelum ini dilaporkan telah bertemu Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 21 September lalu.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Kemudahan Asas pun tak ada,apa yg PAS buat selam memerintah guna air liur janji syurga…apa lah org2 kelate ni buka lah minda tu

Comments are closed.