Kapal Tempur Pesisir (LCS1) yang masih dalam pembinaan sebanyak 60 peratus semasa lawatan media di Boustead Naval Shipyard (BNS), Lumut, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 13 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Laporan Kemajuan Projek Pembinaan Kapal Peronda Generasi Kedua Littoral Combat Ship (LCS) akan dibentangkan di Parlimen Isnin depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin bagaimanapun berkata, laporan itu wajar dibentang dan digulung oleh ahli jawatankuasa terbabit.

Ahli Parlimen Masjid Tanah itu berkata, beliau akan berbincang lebih lanjut dengan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berhubung mekanisme perbahasan laporan tersebut.

“Sebagai contoh, usul perbahasan dan penggulungan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) semasa Mesyuarat Kedua pada 6 hingga 7 Jun 2023 dilakukan oleh Menteri yang bertanggungjawab untuk setiap isu LKAN yang dibangkitkan.

“Namun, saya berpandangan bahawa Laporan PAC wajar dibentangkan dan digulung oleh Pengerusi PAC Parlimen dan ahli-ahli PAC Parlimen,” katanya dalam kenyatataan.

Pembentangan itu susulan kenyataan Johari bahawa Laporan PAC berhubung Kemajuan Projek Pembinaan Kapal Peronda Generasi Kedua LCS bagi Tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023 akan dibahas dalam Mesyuarat Ketiga Dewan Rakyat yang akan diadakan dari 9 Oktober sehingga 30 November.

Mas Ermieyati berkata, PAC menyambut baik langkah berkenaan kerana ia membuktikan bahawa Parlimen mengambil langkah proaktif sebagai mekanisme semak dan imbang kepada badan eksekutif.

“Ini merupakan perkara bersejarah bukan sahaja kepada Parlimen tetapi juga PAC kerana buat pertama kali, laporan jawatankuasa ini akan dibahaskan berbanding sebelum ini, di mana laporan PAC hanya dibentangkan,” katanya.

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata, PAC telah mengadakan lawatan kerja rasmi bersama Johari ke Limbungan Boustead Naval Shipyard (BNS), Markas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, Perak semalam.

Johari telah mendengar taklimat berhubung kemajuan projek itu daripada Pengarah Pasukan Projek LCS TLDM, Laksamana Pertama Ir. Ts. Franklin Jeyasekhar Joseph dan Ketua Pegawai Eksekutif BNS Kepten (B) Ir. Azhar Jumaat. – MalaysiaGazette