Mahkamah Rayuan

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan, di sini, hari ini menolak rayuan seorang lelaki Bangladesh yang dijatuhi hukuman penjara 20 tahun kerana didapati bersalah membunuh dan mengerat isterinya pada 2018.

Perayu juga dituduh menyumbat bahagian badan mangsa ke dalam dua buah beg pakaian sebelum dibuang ke tebing sungai berhampiran Pusat Dagangan Putra Kuala Lumpur (WTCKL).

Tiga panel hakim yang dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera menolak rayuan perayu, Shahzada Saju, kerana berpendapat hukuman yang dijatuhkan terhadapnya adalah wajar.

“Perbuatan perayu mengerikan dan hukuman ini wajar. Hakim bicara tidak melakukan kesilapan dalam menjatuhkan hukuman tersebut.

“Sebenarnya sebagai seorang suami, anda sepatutnya menjaga dan melindungi isteri kamu tetapi apa yang dilakukan oleh anda ialah mengambil nyawanya,” katanya yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk SM Komathy Suppiah.

Terdahulu ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Fuad Abdul Aziz memohon mahkamah menolak rayuan tertuduh memandangkan hukuman itu adalah wajar dengan kesalahan dilakukan olehnya.

Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh, Vijey Esvaren memohon hukuman itu dikurangkan untuk membolehkan tertuduh pulang ke kampung halaman bagi menjaga ibunya yang uzur.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di bilik tidak bernombor, 98C Jalan Sultan Azlan Shah, di sini, pada 4.05 pagi, 3 Julai 2018 sehingga 3.16 pagi, 5 Julai 2018. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast