KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengarah, Majed Salleh, 65, meninggal dunia pagi tadi.
Berita pemergian pengarah filem Syaitan Munafiq itu disahkan adik ipar arwah yang juga penyanyi, Shiha Zikir menerusi hantaran dalam Instagram (IG).
“Assalamualaikum. Abang ipar Shiha, Abdul Majed Mohd Salleh kembali ke rahmatullah, sebentar tadi.
“Mohon sedekahkan al-Fatihah buat arwah, semoga diampunkan segala dosanya dan tergolong bersama golongan beriman. Aamiin Ya Allah,” tulis Shiha.
Sebelum ini, Majed yang juga pelakon drama rantaian popular, Gerak Khas dan Metro Squad dilaporkan kritikal apabila fungsi jantungnya tinggal 25 peratus sahaja pada Jun lalu.
Allahyarham menjalani pembedahan memasang perentak jantung di Hospital Serdang pada Jun lau dengan kos RM72,000 yang ditanggung pertubuhan bukan kerajaan.
Pada Julai lalu, isterinya, Nur Shida Mohd Zikir, 43, memberitahu, suaminya dikejarkan ke Hospital Selayang kerana keadaan jantungnya lemah dan badannya bengkak apabila penyakit merebak ke hati dan buah pinggang. – MalaysiaGazette