Mahkamah Shah Alam

SHAH ALAM – Pengarah urusan sebuah syarikat pengeluar pelitup muka berhadapan dengan tiga pertuduhan berkaitan pelupusan harta berjumlah RM104,496.

Berdasarkan pertuduhan, Chan Choon Lai 43 pada 2 Mac tahun lalu secara curang menyebabkan Ho Chan Loon @ Alan melupuskan harta milik MDCurve International Sdn. Bhd. kepada Movado Design Concept.

Beliau dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih dari lima tahun dengan sebat juga boleh didenda.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan  yang dibacakan kepadanya di Mahkamah Sesyen, hari ini.

Hakim, Datuk Anita Harun kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin dengan RM40,000 oleh seorang penjamin.

Tertuduh juga diarahkan menyerahkan pasport antarabangsa.

Beliau turut diarahkan untuk hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrjaya bagi melaporkan diri sekali setiap bulan.

Terdahulu, tertuduh memohon supaya wang jaminan diringankan kepada RM10,000 namun permohonan berkenaan ditolak.

Dalam pada itu, mahkamah menetapkan 30 November sebagai tarikh sebutan kes berkenaan. – MalaysiaGazette