Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengesyorkan kepada kerajaan supaya mengenakan hukuman lebih keras terhadap kartel-kartel beras yang yang terbukti telah merampas hak rakyat di negara ini.

Naib Presiden I Putra, Datuk Asmawar Samat berkata, kesalahan tersebut perlu dikenakan dikenakan hukuman yang lebih berat seperti penjara lima tahun dan sebatan lima rotan secara mandatori.

Katanya, ketika ini hukuman sedia ada berbentuk kompaun dan denda meskipun mencecah RM100,000 mampu dilunaskan oleh kartel-kartel terbabit.

“Isu bekalan beras tidak akan dapat diselesaikan jika kartel yang menguasai dan memanipulasi perniagaan tidak ditumpaskan.

“Hakikatnya, sekian lama pihak kartel telah menguasai bekalan beras melalui pengilang, pembungkus, pemborong dan peniaga,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Asmawar menegaskan, penguasaan kartel menyebabkan mereka semakin berani hingga menjadikan bekalan beras tempatan kian hilang.

Ia ditambah pula dengan kenyataan rasmi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsu Mokhtar pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-15 yang mendedahkan bahawa 70 peratus beras tempatan telah dicampur dengan 30 peratus beras import menjadikannya beras super import, katanya.

“Jelas kemunculan beras super import adalah bertujuan mencari keuntungan besar dan berlebihan.

“Sebab itu, di Pasaraya dan Kedai Runcit tiada lagi beras tempatan. Perbezaan harga beras import dengan beras tempatan adalah amat ketara. Contohnya, untuk lima kilo beras super import Sunwhite harganya RM26.99, manakala Beras Tempatan Cap Rambutan Hijau harganya RM12.79.

“Berikutan itu, golongan berpendapatan rendah seperti B40 dan M40 dan peniaga kecil makanan menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan beras yang biasa mereka bayar dengan harga rendah,” ujarnya.

Datuk Asmawar Samat

Tambah beliau, walaupun pihak kerajaan telah mengambil langkah memberikan Subsidi Bersasar ditempat tertentu, namun, langkah tersebut membuatkan ramai pembeli terpaksa beratur panjang dan lama serta berebut-rebut bagi mendapatkan beras.

“Persoalannya, apakah pihak jabatan dan agensi kerajaan tidak tahu atau bersikap sambil lewa ke atas kartel-kartel yang terang-terangan melakukan kesalahan yang mengakibatkan kesukaran kepada rakyat?” katanya.

Dalam pada itu, Asmawar berkata, pihaknya menyokong cadangan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh, yang mecadangkan supaya kerajaan mengenakan hukuman lebih tegas termasuk penjara dan sebatan terhadap kartel beras yang terbukti merampas subsidi rakyat di negara ini.

Tegasnya, kerajaan perlu menyegerakan pindaan undang-undang dan menghentikan segala retorik serta tidak perlu takut kepada gangster berbagai kartel. – MalaysiaGazette