Ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Tan Sri Robert Kuok diserbu pihak media selepas menghadiri mesyuarat dan meninggalkan Menara Ilham, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 22 MEI 2018.
Robert Kuok

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia paling kaya, Tan Sri Robert Kuok menyambut ulang tahun yang ke-100 hari ini, menurut laporan South China Morning Post (SCMP).

Laporan akhbar harian itu berkata, Kuok menerima ucapan tahniah daripada beberapa individu berpengaruh termasuk manusia paling kaya di Hong Kong, Li Ka-shing, 95, dan anak lelakinya, Victor Li Tzar-kuoi, 59.

Keluarga Lee daripada Henderson Land Group di negara itu turut menyampaikan ucapan tahniah sambil mengiktiraf kepimpinan luar biasa Kuok.

“Kepimpinan berwawasan dan sumbangan bermakna anda kepada industri telah meninggalkan tanda yang besar. Semoga sejahtera atas pencapaian seabad, kesihatan yang baik dan terus gembira!” kata pengasas syarikat itu, Lee Shau-kee yang dipetik daripada laporan itu.

Pengerusi SCMP,  Joe Tsai iaitu akhbar yang pernah dimiliki oleh Kuok turut menyampaikan ucapan tahniah dan mengiktiraf kepimpinan Kuok.

Sementara itu, Kuok dilahirkan pada 6 Oktober 1923 di Johor dan sering digelar sebagai ‘Raja Gula’ selepas muncul tokoh usahawan Asia sangat menonjol dengan pelbagai empayar perniagaan.

Kekayaan Kuok ketika ini dianggarkan oleh Forbes mencecah AS$10.3 bilion (RM48.7 bilion) menjadikannya manusia ke-155 paling kaya di dunia.

Mewarisi perniagaan pengedaran beras keluarga bersama dua adik beradiknya selepas kematian bapa pada 1948, Kuok kemudiannya menceburi pelbagai bidang perniagaan, antaranya membina empayar Shangri-La Group, yang kini memiliki, mengendali dan menguruskan lebih 100 hotel serta resort di 78 destinasi.

Pada 2018, beliau dilantik menganggotai Majlis Penasihat Kerajaan oleh Perdana Menteri pada masa itu, Tun Dr Mahathir Mohamad semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH). – MalaysiaGazette