Mohamad Sabu
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu bertemu Menteri Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Kemboja, Dith Tina sempena mesyuarat AMAF ke-45 (AMAF) di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 6 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – ASEAN mencapai kata sepakat bahawa negara-negara anggotanya akan diberi keutamaan sekiranya berlaku masalah bekalan bahan makanan termasuk beras.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, keputusan itu dicapai pada hari terakhir Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pertanian dan Perhutanan (AMAF) kali ke-45 di sini hari ini.

“Misalnya, kalau kita menghadapi masalah beras, negara-negara ASEAN akan mengutamakan sesama ASEAN terlebih dahulu.

“Vietnam, Kemboja dan Thailand menyatakan bahawa sebarang permintaan baharu, penambahan import, mereka akan mempertimbangkan,” katanya kepada pemberita selepas AMAF berakhir di sini hari ini.

Kelmarin, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, Malaysia akan menyuarakan kepada negara-negara pembekal beras utama ASEAN supaya memberikan keutamaan mengeksport makanan ruji itu kepada negara anggota pada AMAF yang bermula 2 September lalu.

Mesyuarat tersebut turut disertai China, Jepun dan Korea Selatan yang merupakan rakan-rakan dagang terbesar ASEAN dengan Timor-Leste selaku negara pemerhati.

Sementara itu, Mohamad memberitahu, AMAF kali ini memperkukuhkan lagi hubungan antara ASEAN dan tiga negara terbabit.

“Tadi, pihak kastam China mencari jalan bagaimana untuk mempermudahkan perdagangan dengan ASEAN,” jelasnya.

Hari ini, Mohamad turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Kemboja, Dith Tina.

Malaysia merupakan tuan rumah AMAF ke-45 yang dilangsungkan bagi memperkukuh kedudukan ASEAN sebagai ‘bakul makanan dunia’ selain memacu kerjasama lebih erat antara negara anggota bagi memelihara keterjaminan makanan di rantau ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast