Calon Barisan Nasional (BN) N36 Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam bersama Muhammad Shafieq Hafizilman Johari, 29 anak kepada Allahyarham Datuk Seri Johari Harun selepas diisytiharkan sebagai pemenang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N36 DUN Pelangai di Pusat Penjumlahan Undi Dewan Orang Ramai Felda Kemasul. Foto MOHD ADZLAN, 07 OKTOBER 2023.

BENTONG – Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam tekad akan menerusikan apa yang telah diusahakan oleh Allahyarham Datuk Seri Johari Harun dalam membangunkan kawasan Pelangai.

Dengan majoriti 2,949 anak jati Pelangai itu berjanji akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di situ yang telah memberi kepercayaan kepada beliau untuk mentadibir Pelangai.

”PRK habis kempen habis, Saya akan terus kerja menggalas amanah kepada saya untuk teruskan legasi Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.

“Saya bersyukur kepada Allah kerana telah memberikan kemenangan kepada BN dan saya ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Saya tidak terlupa untuk ucap terima kasih kepada orang cukup bermakna pada saya Tan Sri Adnan Yaakob dan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi DUN Pelangai yang telah memilih BN dan saya akan memberikan perkhidmatan terbaik di Pelangai,” katanya.

Amizar berkata demikian ketika ditemui selepas di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Orang Ramai, Felda Kemasul hari ini.

Beliau memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai selepas meraih 7,324  manakala calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat mendapat  4,375 undi dan calon Bebas. Haslihelmy DM Zulhasli mendapat 47 undi.

PRK kali ini merekodkan jumlah peratusan keluar mengundi iaitu 72.12 peratus. – MalaysiaGazette