KUALA LUMPUR – Beberapa foto dan video memaparkan tentera Isreal dibunuh dan ditawan pejuang Palestine telah dikongsi di media sosial.
Terdapat juga gambar dan video yang memperlihatkan kenderaan tentera Israel dirampas oleh Hamas dan dilarikan ke Gaza.
Buat pertama kali dalam tempoh dua dekad pagar yang dibina oleh Israel bagi menghalang rakyat Palestine memasuki kawasan yang dijajah turut diruntuhkan oleh rakyat Palestine menggunakan jentolak.
Ketua tentera Hamas Mohammed Deif mengisytiharkan permulaan “operasi ketenteraan” terhadap Israel hari ini dengan serangan roket bertubi-tubi dari Semenanjung Gaza.
Lebih 5,000 roket dibedil dari Genting Gaza ke wilayah Israel selepas sayap bersenjata Hamas mengumumkan pelancaran ‘Operation al-Aqsa Flood’.
Bagaimanapun sehingga kini tidak ada angka rasmi jumlah korban atau tentera yang ditawan daripada kedua-dua pihak.
Perang yang diisytiharkan secara mengejut oleh Hamas itu berlaku setelah ketegangan memuncak pada bulan lalu apabila pihak berkuasa Israel menutup lintasan sempadan yang menghubungkan wilayah Gaza selama dua minggu.
Serangan tersebut dipercayai sebagai membalas tindakan tentera Israel yang telah membunuh lebih 200 rakyat Palestine termasuk kanak-kanak dan wanita sepanjang tahun ini.
Sementara itu Perdana Menteri Benjamin Netanyahu memberitahu bahawa negara itu kini “berperang” dengan Hamas yang memerintah Semenanjung Gaza.
Beliau juga dilaporkan telah mengarahkan pasukan simpanan dipanggil dan berjanji bahawa Hamas akan “membayar harga yang tidak diketahui”.- Agensi