KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan bekerjasama dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyelaraskan bantuan kepada golongan asnaf dan miskin.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, langkah ini bagi mengelakkan berlaku pertindihan dan keciciran dalam menyalurkan bantuan kepada golongan tersebut.
“Dalam konteks penyelarasan ini memang saya setuju sangat dan insya-Allah Datuk Mohd Nizam Yahya (Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP) akan berbincang.
“Makna dalam konteks ini, MAIWP boleh beri dari segi peruntukkan untuk agihan zakat seperti ini dan saya rasa mungkin JKM dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula boleh bertindak sebagai ketua agensi.
“MAIWP sentiasa bersedia dalam konteks ini untuk membantu. Asasnya macam tadilah kita nak pastikan supaya semua agihan yang dibuat ini lebih sistematik, teratur dan juga berkesan,” katanya selepas menyantuni serta menyerahkan bantuan kepada golongan asnaf dan gelandangan dalam Program Jejak Gelandangan di Lorong Haji Taib 2, di sini, malam tadi.
Menerusi program ini, Jabatan Perdana Menteri dan MAIWP dengan mengambil inisiatif turun padang memantau isu-isu viral berkaitan gelandangan di ibu kota.
Mohd Na’im menambah, kerjasama kedua-dua pihak ini dapat memberi perlindungan kepada golongan gelandangan yang dilihat sering terancam dengan aspek keselamatan.
“Apa yang mereka perlukan adalah tempat berlindung kerana apabila berada di luar sana mereka terdedah kepada pelbagai karenah orang, selain isu lain seperti gelandangan uzur.
“Sebagai manusia biasa, mereka mungkin ada buat silap terambil barang orang lain menyebabkan ada yang marah sehingga memukul
“Kalau kita boleh cari tempat untuk mereka ini berteduh dan berlindung dengan duduk di rumah maka tiadalah isu berkaitan dengan ancaman keselamatan mereka itu.
“Jadi dengan adanya kerjasama MAIWP dengan JKM dan DBKL ini juga saya percaya lebih banyak rumah-rumah transit dapat kita bina dan lebih ramai lagi golongan gelandangan dapat kita selamatkan,” jelasnya.
Sebelum ini, media melaporkan terdapat banyak kes berkaitan gelandangan ditemui mati dalam longkang malah menjadi mangsa pukul oleh orang awam terutama mereka yang tiada tempat berteduh dan berlindung. – MalaysiaGazette