Gambar hiasan.

 

MAJLIS Belia Malaysia (MBM) cakna dengan pengumuman yang dilakukan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin beberapa hari lepas yang menyatakan hasrat pihak Kementerian untuk tidak meneruskan inisiatif diskaun bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di dalam Bajet 2024 yang akan dibentangkan pada minggu hadapan.

Majlis Belia Malaysia (MBM) ingin memohon pihak KPT untuk mempertimbangkan semula cadangan tersebut atas beberapa perkara;

Pertama, umum mengetahui bahawa inisiatif yang sangat baik ini bukanlah suatu perkara yang baharu tetapi telah dilaksanakan sejak sekian lama dan diteruskan di dalam Bajet 2023 yang lalu dengan beberapa penambahbaikan berdasarkan kelayakan.

Melalui inisiatif ini, pihak kerajaan berjaya menarik perhatian seramai hampir 700,000 orang peminjam untuk melakukan pembayaran semula secara konsisten sejak diperkenalkan. Walaupun nisbah pembayar dan peminjam tidak mapan, namun diakui sejak ianya diperkenalkan pihak PTPTN berjaya mengutip semula sejumlah hampir RM20 juta daripada peminjam.

Kedua, MBM percaya penerusan inisiatif diskaun bayaran balik ini merupakan satu usaha murni yang pragmatik kerana menggalakkan warga belia peka bertanggungjawab membayar semula pinjaman serta memastikan peluang yang saksama
diberikan kepada bakal peminjam.

Malah ianya akan membantu mengurangkan beban ekonomi dan meningkatkan “useable money” warga belia khususnya mereka yang baharu memulakan pekerjaan ataupun para peminjam yang bekerja dalam lingkungan pendapatan rendah dan sederhana. Hal ini secara tidak langsung dapat mengurangkan beban sara hidup yang membelenggu rakyat terutama warga belia.

Ketiga, MBM percaya Insentif diskaun bayaran balik ini juga adalah mekanisme efektif bagi membantu kestabilan kewangan belia yang baru sahaja melangkah ke alam pekerjaan dan membina kehidupan. Dengan cabaran untuk mendapatkan pekerjaan  setara dengan kelayakan, gaji permulaan graduan yang rendah dan sebagainya, penerusan usaha murni inisiatif bayaran balik ini sudah pasti akan dihargai golongan belia secara keseluruhannya.

Yang terakhir MBM ingin mencadangkan kepada pihak PTPTN, untuk memperkasa dan menambah baik saluran pembayaran semula sebagai langkah yang lebih mapan. Kerjasama yang telah dan sedang dijalankan bersama pihak Bank, KWSP dan lain-lain dalam usaha menggalakan pembayaran semula pinjaman. Langkah-langkah proaktif seperti penstrukturan semula kadar bayaran bulanan atau sebagainya boleh dijalankan bagi memastikan pihak peminjam akan terus cakna dengan tanggungjawab membayar semula pinjaman mereka.

Justeru, MBM berharap pihak Kementerian Pendidikan Tinggi dapat melakukan konsultasi berterusan bersama Kementerian Kewangan untuk memastikan inisiatif diskaun bayaran balik ini sebagai agenda keutamaan di dalam pembentangan Bajet 2024 akan datang bagi
membela agenda belia.

 

Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, Presiden Majlis Belia Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast