Calon Perikatan Nasional (PN) N36 Pelangai, Kasim Samat menunjukkan jari yang telah dicelup dengan dakwat kekal selepas selesai membuang kertas undi pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N36 DUN Pelangai di Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Chemomoi, Bentong, Pahang. Foto MOHD ADZLAN, 07 OKTOBER 2023.

BENTONG – Akibat teruja menunaikan tanggungjawab sebagai calon dan pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Kasim Samat atau Cikgu Kassim tersasul dengan berkempen di hari pengundian.

Tindakan itu dibuat beliau yang selesai mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chemomoi bersama isterinya, Noratiqah Abu Bakar.

“Jom balik kampung mengundi. Jangan lupa calon nombor satu (dari) PN Cikgu Kasim. Oh tak boleh (kempen) eh?,” katanya di luar SMK Chemomoi.

Menurut Artikel 48(e) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhak membatalkan kemenangan mana-mana calon sekiranya terdapat laporan dan bukti yang menunjukkan wujudnya unsur-unsur berkempen pada hari pengundian.

Jika sabit kesalahan, calon berkenaan boleh dihukum penjara tidak kurang dari satu tahun atau didenda tidak kurang daripada RM2,000.

Dalam pada itu, Cikgu Kassim turut menggesa agar pengundi luar agar segera pulang mengundi di PRK Pelangai. 

“Warga Pelangai yang masih dalam perjalanan atau masih di rumah jauh di perantauan, ada masa lagi untuk balik

“Masih sempat lagi sempat untuk balik (mengundi),” kata Cikgu Kassim. – MalaysiaGazette