Pengundi membuang kertas undi pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N36 DUN Pelangai di Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Chemomoi, Bentong, Pahang. Foto MOHD ADZLAN, 07 OKTOBER 2023.

BENTONG – Di mana-mana pilihan raya sebelum ini, selalunya anak muda agak lewat datang mengundi tetapi di Pelangai berbeza situasinya.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh yang membuat tinjauan proses pengundian di Pilihan Raya Kecil DUN Pelanagai pagi ini berkata, jumlah kehadiran pengundi muda amat memberangsangkan.

“Kalau kita lihat para pengundi muda datang awal dan berbaris panjang. Kalau sebelum ini orang muda agak lewat turun mengundi tapi di sini saya nampak ada satu semangat perubahan.

“Kita lihat anak muda di saluran 4 dan 5 ini begitu bersemangat untuk mengundi pada pagi ini,” katanya dalam sidang media selepas membuat tinjauan perjalanan hari pengundu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chemomoi, pagi tadi.

Dalam pada itu, Abdul Ghani berkata, sasaran 75 peratus jumlah pengundi hari ini boleh dicapai memandangkan peratus turun mengundi yang amat menggalakkan setakat jam 11 pagi tadi.

“Cuaca pun nampak tidak begitu panas dan kita harap pengundi yang belum keluar, keluarkan mengundi untuk menunaikan tangggungjawab masing-masing.

“Kita lihat pada peratusan setiap jam 10 peratus peningkatan saya rasa anggaran kita akan mencapai 70 peratus sasaran pada kali ini,” katanya lagi.

Setakat jam 11 pagi tadi, 32 peratus daripada 16,456 pengundi telah menunaikan tanggungjawab masing-masing.

PRK Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru terdiri daripada Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bentong, Datuk Amizar Abu Adam dari BN; Naib Yang Dipertua Pas Bentong, Kasim Samat (PN) dan Haslihelmy DM Zulhasli, calon bebas yang menggunakan simbol kereta.

PRK DUN Pelangai diadakan selepas penyandang kawasan itu diisytihar kosong susulan penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor Ogos lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan Kasim yang mendapat 3,260 undi, calon Pakatan Harapan (PH) Ahmed Wafiuddin Shamsuri (2,031 undi) dan calon Pejuang Isa Ahmad (65 undi). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast