bidang tujahan IPT warga emas MQA
Mohammad Shatar Sabran

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli akademik tidak boleh bekerja sendirian, malah mereka perlu membentuk jaringan kolaborasi dalam konteks bidang kepakaran yang sama bagi memberi sumbangan signifikan kepada masyarakat serta pembanunan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, hal itu perlu dilakukan ahli akademik supaya Malaysia terus fokus terhadap pembangunan pendidikan tinggi yang berkualiti.

Beliau berkata, apabila usaha itu berjaya dilaksanakan, impaknya pasti dirasakan di peringkat nasional, malah warga global juga akan tertarik untuk mengetahui rahsia kejayaan pendidikan tinggi negara.

Katanya, hal itu akan menarik minat lebih banyak bakat terbaik untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk menyambung pengajian.

“Ahli akademik ibarat lidi, jika satu memang rapuh, jika segemal sukar dipatah, justeru golongan ini perlu memasyarakatkan kesarjanaan mereka supaya tidak menjadi seperti ‘pulau’ yang bersifat terasing sehingga masyarakat tidak dapat manfaat daripada kepakarannya.

“Memang sudah wujud jalinan kerjasama merentas institusi atas semangat bidang yang sama, jadi usaha itu perlu terus diperkukuh kerana golongan ahli akademik mempunyai kebijaksanaan dalam sesuatu bidang yang mestilah dikongsi untuk kebaikan masyarakat secara keseluruhan.

“Ia adalah seperti yang dihasratkan dalam ucapan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Majlis Sambutan Hari Akademia dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan Tahun 2023,” katanya, hari ini.

Mohammad Shatar yang juga pakar sosial berkata, masyarakat sememangnya dahagakan ilmu dan perkongsian daripada pakar terutamanya yang membabitkan bidang yang berkait rapat dengan kehidupan mereka.

Katanya, sekiranya ada kaedah untuk memudahkan sistem penjagaan tanaman kontan yang dapat meningkatkan hasil tani dalam masa singkat atau aplikasi pintar yang mengumpul pangkalan data harga keperluan harian supaya pengguna boleh memilih tempat membelinya.

“Dua contoh ini ialah antara perkara yang pastinya memudahkan kehidupan seharian masyarakat, lebih-lebih lagi yang menyentuh sumber ekonomi atau mata pencarian mereka.

“Sekiranya peranan ahli akademik dapat dirasai begitu penting dalam masyarakat, pastinya banyak permasalahan mampu diselesaikan dengan cara menurunkan segala pengetahuan demi memaksimumkan manfaatnya kepada semua,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Balun jgn tak balun…ahli akademik pun gaji ciput…dgn skim jawatan kontrak, banyak plak demand ko yer..bayangkan pensyarah IPTA kerja kontrak..anak murid kerja tetap? Tak masuk akal laa

Comments are closed.