OSA PN Pejuang Hamzah Zainudin
Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR – Dunia seharusnya melihat kezaliman yang berlaku di Palestin dan mesti bertindak menghentikan peperangan terbaharu di Gaza dengan segera sebelum lebih ramai nyawa yang tidak berdosa menjadi korban.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan Malaysia perlu menggunakan semua saluran perundangan antarabangsa khususnya melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Menurut beliau, langkah itu bertujuan menyatukan suara masyarakat dunia sebelum perang tersebut bertukar menjadi krisis kemanusiaan yang lebih buruk.

“Krisis terbaharu antara Palestin dan Israel adalah rentetan panjang yang berpunca daripada kezaliman serta kejahatan rejim Zionis membunuh, merampas tanah, mengepung dan menindas umat Palestin yang tidak berdosa sejak sekian lama.

“Adalah menjadi hak rakyat Palestin untuk mempertahankan diri mereka daripada terus dizalimi dan Perikatan Nasional (PN) berdiri teguh serta sentiasa bersama-sama dengan perjuangan suci rakyat Palestin,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Setakat ini, seramai 232 rakyat Palestin dilaporkan terkorban dan lebih 1,697 orang cedera akibat pengeboman Israel ke atas Gaza semalam.

Tindakan itu dilakukan oleh Israel sebagai serangan balas terhadap Operasi Taufan al-Aqsa yang dilancarkan Hamas.

Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut mengingatkan bahawa sebarang konflik bersenjata pasti menelan korban nyawa serta membawa kerosakan harta benda.

“Pada masa yang sama, marilah kita seluruh umat Islam terus berdoa kepada Allah SWT agar diberikan perlindungan dan keselamatan kepada seluruh rakyat Palestin,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast