MELAKA – Sikap lebih mementingkan keuntungan, majikan warga asing di negeri ini menjadi antara penyumbang peningkatan kes denggi di Melaka sehingga hampir 100 peratus tahun ini berbanding tahun lalu.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Rusdi Abd. Rahman berkata, banyak syarikat lebih mengutamakan pengeluaran dan tidak mengerahkan pekerja mereka terlibat program gotong royong membanteras nyamuk Aedes.
“Mereka (majikan warga asing) lebih utamakan (pengeluaran kilang) berbanding berada bersama-sama kita melakukan gotong royong di tempat tinggal atau penginapan pekerja.
“Bila pekerja terlalu sibuk untuk kerja lebih masa, mereka tidakĀ mementingkan kebersihan walaupun perkara ini kita sudah berbincang dengan bahagian sumber manusia kilang berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelepasan Nyamuk Aedes Dewasa Berwolbachia di Pangsapuri Taman Tasik Utama, Ayer Keroh yang majoritinya didiami pekerja warga asing di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, kes denggi di Melaka setakat minggu Epid ke-35 tahun ini merekodkan sebanyak 869 kes atau 96.4 peratus iaitu meningkat hampir sekali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Daerah Melaka Tengah mencatatkan kes tertinggi sebanyak 640 kes, Alor Gajah (99) dan Jasin sebanyak 85 kes. Namun tiada kematiah dilaporkan setakat ini,” katanya.
Dr Rusdi berkata, usaha memerangi denggi tidak boleh hanya bergantung kepada kaedah semburan asap baharu jenis ‘Outdoor Residual Spray’ (ORS) atau nyamuk Berwolbachia semata-mata.
“Penyumbang terbesar peningkatan denggi adalah kerana sikap menjaga kebersihan penduduk termasuk penghuni asrama pekerja warga asing yang masih rendah.
“Saya harap, majikan warga asing dapat memainkan peranan mencari ruang tertentu pada hujung minggu misalnya untuk menggalakkan pekerja mereka melakukan gotong royong,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan kerajaan negeri berdepan cabaran mengawal wabak denggi ekoran lambakan pekerja asing yang tinggal di kawasan pangsapuri.- MalaysiaGazette