Oleh: Abdul Hadi Abd Aziz & Nurulisyazila Othaman
SEBELUM kejadian manusia, Allah SWT telah mempersiapkan mereka dengan menciptakan bumi, gunung-ganang, udara, binatang dan tumbuh-tumbuhan dalam tempoh masa empat hari. Kemudian barulah Allah SWT menciptakan langit dan seisinya dalam tempoh dua hari seperti yang dijelaskan dalam surah al-Fussilat ayat 9 hingga 12. Setelah segala-gala keperluan umat manusia siap untuk mereka barulah Allah SWT menciptakan mereka. “Sesungguhnya manusia itu diciptakan dalam bentuk sebaik-baik kejadian. Seperti firman Allah SWT dalam surah al-Tin ayat ke 4: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya”. Jelas dalam ayat ini, Allah SWT telah mencipta segala-gala dengan penuh kesempurnaan. Kemudian diutuskan buat umat manusia rasul-rasul untuk mendidik dan membimbing mereka ke jalan yang Allah kehendaki-Nya.
Malangnya sebahagian umat manusia terpedaya dan terpesona dengan godaan dan bisikan syaitan laknatullah yang telah bersumpah untuk menyesatkan mereka. Sehingga ke hari ini, iman manusia semakin berjaya dirosakkan sehingga terhakis nilai-nilai adab dan akhlak. Melihat kepada perkembangan teknologi masa kini, manusia terutama remaja-remaja, bahkan ada juga sebahagian dalam kalangan orang-orang dewasa, mereka sanggup mengenepikan maruah dan adab mereka demi menarik tontonan yang ramai seperti Live di aplikasi TikTok, YouTube atau Facebook. Tujuan mereka adalah untuk memperbanyakkan like dan share demi memperoleh pendapatan daripada aktiviti-aktiviti tersebut.
Soalan kita kepada mereka, adakah mereka terfikir bahawa pendapatan yang diperoleh itu bertepatan dengan hukum syarak? Adakah halal atau haram? Tidakkah mereka bimbang jika sumber pendapatan yang diperoleh itu mereka salurkan pula kepada ahli keluarga? Lalu, mengalir ia dalam darah daging mereka membesar dengan sumber -sumber seperti itu. Bahkan ada yang lebih dahsyat lagi apabila video-video mereka yang ‘viral’ itu mempunyai unsur-unsur fitnah dan mengaibkan orang lain apatah lagi diri sendiri. Adakah itu semua diredai oleh Allah SWT? Jadi fikir-fikirkanlah sebelum melakukan sesuatu.
Sekiranya fenomena ini berterusan tanpa ada kawalan daripada pihak kerajaan, masyarakat dan keluarga, apakah yang akan berlaku kepada generasi kita pada zaman akan datang? Ibu bapa sibuk dengan kerja dan gadget sehingga lupa akan anak-anak, lantas menjadikan gadget juga sebagai “ubat penenang” kepada anak-anak. Apa yang lebih menakutkan lagi adalah mereka memberi gadget, namun tidak mempedulikan langsung apa yang sedang ditonton dan dilayari oleh anak-anak mereka. Jika beginilah realitinya, percayalah anak-anak mereka tidak akan dapat menjadi seorang manusia yang berakhlak mulia, hilang hormat mereka kepada orang tua, guru dan orang lain kerana akhlak mereka adalah gadget. Ibu bapa pula tiada waktu untuk bersama anak-anak mengajarkan mereka akhlak yang baik. Apabila anak-anak berada di luar rumah bersama dengan rakan-rakan, mereka tanpa segan-silu memperlakukan perbuatan tidak senonoh, berpakaian yang menjelekkan serta kadang-kala mengganggu ketenteraman awam. Maka hal ini mestilah cuba dielakkan.
Tidak dinafikan perkembangan teknologi masa kini amat pesat maju ke hadapan, tidak juga kita boleh menolak penuh kehadirannya. Allah SWT mengurniakan tiap manusia dengan akal fikiran yang baik jauh bezanya dengan teknologi ciptaan manusia tanpa akal dan fikiran. Maka sebaiknya kita menggunakan kemajuan teknologi dengan akal fikiran yang telah Allah cipta, serta membawa kebaikan dan manfaat buat alam sejagat. Usah dibiarkan teknologi mengawal diri kita dan terus menerus menjadi hamba teknologi. Manusia sendiri perlu berfikir sebaiknya di mana dan bila perlu menggunakan teknologi dan setiap sisi media sosial ke arah kebaikan. Isikan kemajuan ini dengankandungan yang bermanfaat tanpa mengundang sengketa serta permusuhan antara satu sama lain.
Semoga setiap kandungan yang telah kita muat naik menjadi saham – saham akhirat kelak serta bermanfaat buat semua. Sebagai seorang Muslim, akhlak adalah perkara pokok yang mesti diajar kepada anak-anak semasa kecil sehinggalah dewasa. Akhlak adalah perilaku dan tindakan yang baik dan mencakup semua aspek kehidupan. Ia termasuk bagaimana kita berinteraksi dengan orang lain, sebagaimana kita memperlakukan orang di sekeliling kita; yakni akhlak dengan orang lain, akhlak dengan binatang dan akhlak dengan tumbuhan.
Selain itu, akhlak juga melibatkan nilai-nilai seperti kejujuran, integriti dan rasa hormat terhadap orang lain. Dalam banyak budaya, akhlak dianggap sebagai sebahagian penting dari kehidupan bahagia. Akhlak dengan Allah SWT dan Rasulullah SAW adalah antara yang paling penting ditekankan dalam pendidikan anak-anak. Itulah bezanya anak-anak pada zaman sekarang dengan zaman dahulu yang mana zaman dahulu sangat ditekankan dengan tatasusila dan adab sopan. Terutamanya orang melayu, mereka sangat terkenal dengan seorang yang penuh dengan sopan-santun dan budi pekerti. Itulah ciri-ciri seorang Islam yang sebenar.
Tetapi hal itu sudah tidak sama lagi. Ibu bapa mestilah memikirkan bagaimana untuk menjadikan anak mereka seorang yang berakhlak mulia dan pastinya menjadi anak yang soleh. Kerana anak-anak yang ditinggalkan itu akan menjadi syafaat buat mereka setelah nyawa berpisah dari badan. Nabi SAW bersabda, “Tidak ada pemberian seorang ayah untuk anaknya yang lebih utama daripada (pendidikan) akhlak yang baik” (Hadis riwayat Ahmad dan al-Tirmidzi). Jadi jelas bahawa akhlak yang mulia adalah perkara utama yang ditekankan dalam Islam bahkan itulah Islam secara hakikatnya. Ini kerana Nabi SAW telah bersabda: “Sesungguhnya Aku telah diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang baik,” (Riwayat al-Bukhari). Bahkan ia juga diterangkan dalam al-Quran dalam surah al-Ahzab ayat 21 bahawa Nabi SAW itu padanya contoh teladan yang baik. Maka hanya orang-orang yang sentiasa mengingat Allah SWT dan hari Akhirat serta mengharapkan keredaan dan keampunan-Nya, maka mereka adalah orang-orang yang akan berjaya di akhirat kelak.
Penulis dari Pusat Pengajian Bahasa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia