MAHAR
Jismi Johari

KUALA LUMPUR – Dasar aparteid rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin sejak berpuluh tahun lalu menjadi punca yang mencetuskan konflik terbaharu di Gaza.

Presiden Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Jismi Johari berkata, rejim tersebut telah melakukan penghapusan etnik sejak 75 tahun lalu.

Selain itu, menurut beliau, sepanjang tempoh 15 tahun lalu, rejim Zionis Israel telah melakukan sekatan dan penahanan tanpa perbicaraan, pembunuhan, merampas tanah Palestin, mencemar kesucian Masjid Al-Aqsa dan menyerbu rumah penduduk Palestin.

“Apa yang berlaku adalah hasil yang boleh diramalkan akibat penindasan selama beberapa dekad oleh rejim aparteid,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Setakat ini, lebih 400 penduduk Gaza terkorban dan kira-kira 2,300 orang lagi cedera dalam serangan balas yang dilancarkan rejim Zionis Israel sejak kelmarin.

Sehubungan itu, Jismi memberitahu, MAHAR menyeru semua pemimpin dan masyarakat dunia yang berfikiran waras agar mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan terang-terangan rakyat Palestin yang dilakukan oleh pihak berkuasa Israel.

Beliau menambah, masyarakat dunia perlu serius dalam menuntut rejim Israel bertanggungjawab atas tindakan tersebut dan menghentikan serta-merta sebarang bentuk kekejaman dan kebiadapan keatas rakyat Palestin.

“Masyarakat dunia perlu bersuara atas pencabulan hak asasi manusia oleh rejim Israel secara terang-terangan,” jelasnya.

Jismi berkata, MAHAR turut merakamkan simpati, takziah dan mendoakan kepada keluarga ramai rakyat Palestin terbunuh dan cedera kerana pencerobohan Israel.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, MAHAR akan menganjurkan Minggu Solidariti Palestin yang bertemakan ‘Menyebarkan Sejarah’ di Dataran Wawasan Putrajaya mulai 25 November hingga 2 Disember ini.

Jismi memberitahu, program yang mendapat kerjasama Kementerian Luar itu menyatukan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam komitmen bersama mereka membela nasib rakyat Palestin.

“Minggu Solidariti Palestin berfungsi sebagai pemangkin untuk meningkatkan kesedaran global tentang nasib Palestin,” katanya.

Menurut beliau, antara aktiviti yang bakal diadakan adalah forum, bazar makanan, paparan statik tentang Palestin dan pertunjukan kebudayaan.

“Ini bukan sahaja peluang untuk menghormati sejarah Palestin tetapi juga untuk melibatkan masyarakat antarabangsa dalam memahami penderitaan yang ditanggung oleh rakyat Palestin,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast