Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Persatuan Ekonomi Muslim Malaysia (PEMM) menyokong langkah kerajaan untuk meneliti tindakan yang diambil oleh Indonesia berkenaan pengharaman penjualan barang di platform TikTok.

Inisiatif ini dilihat sebagai langkah proaktif dalam memastikan keadilan dan integriti dalam arena e-dagang tanah air, menurut Abdul Hannan Abdullah.

“PEMM memberi sokongan penuh kepada kenyataan Menteri Fahmi Fadzil, untuk memastikan persekitaran perniagaan yang sihat dan berdaya saing di Malaysia.

“Strategi promosi TikTok yang menetapkan harga setinggi 1 sen telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan usahawan kecil dan peniaga konvensional,” ujarnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, dengan harga yang amat kompetitif ini, ramai pelanggan cenderung memilih belanja atas talian, mengabaikan kedai-kedai fizikal.

Akibatnya, kedai-kedai mengalami penurunan pelanggan, tempat letak kereta menjadi sepi, selain banyak kedai terpaksa menghentikan operasi mereka dan pendapatan berkurangan bagi pihak berkuasa tempatan secara amnya.

Seterusnya mengurangkan peluang pekerjaan dalam kalangan penduduk setempat.

Selain itu, tambahnya, Laporan MyIPO 2022 mendedahkan barang tiruan bernilai sebanyak RM1.2 bilion (AS$283 juta) telah dirampas dan daripada jumlah ini, RM400 juta (AS$94 juta) dikaitkan dengan platform atas talian.

“TikTok, dengan hubungan globalnya, mungkin menjadi jambatan kepada transaksi produk tiruan, yang berpotensi merisaukan industri kita dan kepercayaan pengguna.

“Populariti TikTok telah mengubah bentuk lanskap digital di Malaysia dan memberi impak kepada e-dagang konvensional.

Abdul Hannan menambah, lebih daripada 24 juta pengguna internet di Malaysia kini tertarik dengan platform media sosial seperti TikTok, menyebabkan perubahan signifikan dalam aliran e-dagang.

Laman web e-dagang berskala kecil, yang dulunya menikmati pertumbuhan ekonomi digital yang pesat di Malaysia, kini berdepan dengan cabaran yang tidak pernah dijangka.

Pereka web mula menghadapi permintaan untuk reka bentuk laman yang lebih interaktif dan berorientasikan video menyebabkan pihak yang
menyediakan perkhidmatan hosting melihat keperluan sumber yang tidak menentu.

Tambahan pula, dengan adanya peningkatan belanja iklan di platform media sosial, ini menandakan terdapat pergeseran dalam strategi pemasaran, yang secara langsung mempengaruhi pakar SEO (Search Engine Optimization) dan pemasar tradisional dalam bidang e-dagang.

Berikutan penyebaran pesat produk makanan yang dipromosikan tanpa jelasnya sijil halal atau ketiadaan maklumat lengkap mengenai pematuhan syariah, adalah penting bagi pengguna dan penjual di TikTok untuk mengambil pendekatan berhati-hati.

Jelasnya, integriti dan ketelusan dalam mempromosikan dan menjual produk, khususnya yang berkaitan dengan kehalalan, adalah asas untuk memelihara kepercayaan dan hak pengguna, terutamanya komuniti Muslim di Malaysia.

Kemunculan dan kejayaan TikTok menimbulkan persoalan mengenai kuasa dominannya dalam industri e-dagang.

Ramai usahawan merasa ditekan dalam persekitaran platform tersebut, percaya bahawa usaha gigih dan inovasi yang mereka bawa sering kali tidak mendapat penghargaan sewajarnya.

Tambahan pula, ada laporan mengenai TikTok yang sewenang-wangnya menyekat akaun usahawan dan menahan dana mereka tanpa penjelasan yang jelas, sekali gus menambahkan keperluan mendesak untuk meneliti dengan lebih mendalam dasar pentadbiran dan tindakan TikTok.

Mekanisme pengumpulan data oleh TikTok menimbulkan pertanyaan dan kebimbangan.

Adakah data ini digunakan dengan cara yang benar?. Bagaimana dengan keselamatan penyimpanannya?. Dan apa kesannya kepada kita semua, baik di peringkat nasional mahupun antarabangsa?

Apakah tiada relevan akta perlindungan data peribadi 2010 pada tik tok, soal Ahmad Hannan lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast