Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengesyorkan kerajaan Malaysia memainkan peranan utama sebagai pendamai bagi mengurangkan dampak peperangan berterusan antara Israel dan Palestin.

Seterusnya berperanan membawa kepada penyelesaian rundingan keamanan, kata presidennya, Ahmad Farhan Rosli.

“PKPIM juga menggesa Kaukus Palestin Parlimen Malaysia mengemukakan usul khas di bawah Peraturan Mesyuarat 18 bagi menyatakan pendirian dan tanda sokongan dan solidariti tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin dalam Sidang Dewan Rakyat kali ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Farhan, PKPIM sekali lagi menyatakan setinggi-tinggi sokongan terhadap rakyat Palestin dan perjuangan mereka. Kebebasan kemerdekaan masyarakat global tidak akan lengkap selagi Palestin tidak dibebaskan.

PKPIM mengecam sekerasnya keganasan berterusan oleh Israel terhadap penduduk Palestin sejak tahun 1948.

“Serangan yang dilancarkan oleh Israel telah melanggar undang-undang antarabangsa dan tidak menghormati resolusi yang diputuskan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkenaan konflik Israel-Palestin. Ini telah mencabar peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai sebuah pertubuhan yang bertanggungjawab memastikan keamanan sejagat.

“Atas nama kemanusiaan dan hak asasi manusia, PKPIM menyeru masyarakat sedunia untuk memberi tekanan yang berterusan menentang tindakan pengecut Israel dan mengangkat keadilan untuk seluruh rakyat Gaza. Segala sekatan harus ke atas Gaza ditamatkan bagi memberi akses bantuan kemanusiaan, bantuan perubatan & keperluan asas untuk membantu rakyat-rakyat Palestin yang terkesan,” ujarnya. – MalaysiaGazette