Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Masyarakat antarabangsa mesti bertindak pantas dan tegas untuk memaksa Israel menghentikan pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan di Gaza.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Israel mesti menghormati resolusi-resolusi antarabangsa yang telah diputuskan melalui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan mengakui hak serta sejarah rakyat Palestin.

“Masyarakat antarabangsa mesti menghalang peristiwa ini daripada menjadi alasan untuk serangan baharu Israel yang mengancam nyawa orang awam Palestin di Gaza,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Setakat ini, lebih 400 penduduk Gaza terkorban dan kira-kira 2,300 orang lagi cedera dalam serangan balas yang dilancarkan rejim Zionis Israel sejak kelmarin.

Muhyiddin memberitahu, PN mengulangi komitmennya yang tidak berbelah bahagi kepada perjuangan Palestin yang adil dan hak yang sah bagi rakyat Palestin.

Menurut beliau, PN dengan tegas menyokong penubuhan negara Palestin merdeka berdasarkan sempadan tahun 1967.

“PN juga menggesa kerajaan Malaysia untuk mengambil tindakan segera dengan mengusulkan mesyuarat tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk mengecam pencerobohan Israel dan menzahirkan solidariti dengan rakyat Palestin.

“Adalah penting bagi masyarakat antarabangsa berdiri bersama untuk menangani krisis ini dan berusaha ke arah penyelesaian yang aman dengan menghormati hak rakyat Palestin,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Muhyiddin berkata, PN juga mengutuk pencerobohan berulang kali terhadap Masjid Al-Aqsa yang ternyata menjadi antara sebab utama peningkatan ketegangan di rantau itu. – MalaysiaGazette