Johari Abdul

KUALA LUMPUR – Ahl-ahli Dewan Rakyat disaran supaya menjalani pemeriksaan kesihatan dan diserahkan kepada Parlimen untuk direkodkan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul telah mengeluarkan arahan tersebut pada sesi dewan yang lepas dan kesemua ahli dewan rakyat perlu mematuhinya.

Katanya, langkah itu adalah bagi memastikan pihak Parlimen memiliki rekod perubatan setiap anggota Dewan Rakyat sebagai persediaan sekiranya berlaku sebarang kemungkinan.

“Saya telah memaklumkan kepada Ahli Yang Berhormat berkenaan kewajipan pelaksanaan pemeriksaan kesihatan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat di Dewan Rakyat.

“Hingga 2 Oktober 2023 hanya 54 ahli Dewan Rakyat dan dua senator serta anggota pentadbiran telah menjalani pemeriksaan kesihatan…ini satu jumlah yang amat kecil.

“Oleh itu, saya menyeru semua ahli Yang Berhormat yang belum menjalani pemeriksaan kesihatan untuk menjalani pemeriksan ini segera.

“Tarikh akhir pemeriksaan kesihatan adalah pada 31 Oktober 2023…boleh menghubungi doktor kesihatan Parlimen Malaysia berkenaan maklumat terperinci mengenai pemeriksaan kesihatan ini,” katanya ketika pembukaan Mesyuarat Penggal kedua Parlimen kelima Belas (2023) di sini hari ini.

Bagaimanapun, arahan Johari itu dipersoal Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) apabila berkata, pihak Parlimen boleh memperoleh rekod perubatan ahli Dewan Rakyat dengan mendapatkannya di Institut Jantung Negara (IJN) atau di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Katanya, ada ahli-ahli Dewan Rakyat yang mendapat pemeriksaan kesihatan di situ secara rutin tanpa perlu anggota dewan menyerahkan rekod tersebut kepada Parlimen.

“Sepatutnya doktor Parlimen ini ada rekod kerana mereka (IJN) akan hantar rekod itu di sini,” ujarnya.

Mendengar persoalan itu, Johari kemudiannya menjelaskan pemeriksaan perubatan itu hanya sebagai rekod simpanan pihak Parlimen sahaja.

Katanya, rekod itu diperlukan kerana beliau bertanggungjawab terhadap kesihatan wakil-wakil rakyat di Parlimen.

“Ahli-ahli Dewan Rakyat boleh membuat pemeriksaan kesihatan itu di sini atau pun di mana-mana jua asalkan rekod itu berada di sini supaya jika Yang Berhormat tumbang di sini contoh, rekod kita ada di Parlimen tapi rekod Yang Berhormat ada di Beluran…tak mungkin doktor boleh selamatkan Yang Berhormat dengan segera, itu sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette