Rosli Abdul Jabar menunjukkan laporan polis yang dibuat berhubung kes fitnah menerusi hantaran Facebook yang menggunakan namanya.

KUANTAN – Pas Pahang menggesa dua pengguna Facebook supaya memadam perkongsian hantaran yang didakwa berunsur fitnah dan membuat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam.

Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, permohonan maaf itu perlu dibuat bagi membersihkan imejnya daripada terpalit membuat kenyataan berkaitan isu 3R (kaum, agama, raja).

Beliau juga menafikan sekeras-keras kenyataan itu dibuat olehnya yang menggunakan akaun Abdul Jabar Rosli Rosli pada 7 Oktober 2023, yang mana hantaran palsu yang dikongsikan itu merupakan perbuatan tidak tanggungjawab.

“Pertama hantaran itu dibuat oleh Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin (Ketua Bahagian UMNO Maran) kononnya yang saya buat hantaran itu tapi bukan dan saya menafikan bukan saya yang tulis. Kita pun tak tahu siapa yang buat dan edit.

“Saya tidak pernah mengeluarkan hantaran tersebut. Hantaran itu telah menggunakan nama saya.

“Pada 6 petang semalam saya dimaklumkan bahawa ada satu posting berbunyi ‘Terima kasih pengundi Pelangai mengekalkan Pelangai ke lembah kemaksiatan. Dan nerakalah tempatlah kalian wahai pengundi BN,” jelasnya.

Tambahnya, hantaran itu telah mendapat hampir 3,000 sukaan dan menimbulkan pelbagai reaksi sekali gus menjejaskan reputasi beliau dan akan menimbulkan kekeliruan oleh masyarakat.

Difahamkan hantaran itu dikongsikan berkaitan sindiran atas kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai yang memeroleh 2,949 majoriti pada 7 Oktober lalu.

Justeru pihaknya menyerahkan kes berkenaan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk disiasat segera.

“Saya tak pernah mengeluarkan kenyataan tersebut dipercayai menggunakan nama saya itu palsu. Saya mahu pihak yang melakukan kerja fitnah disiasat dan diambil tindakan.

“Saya berharap Datuk Seri Shahaniza memadam hantaran itu dan memohon maaf atas kesilapan itu dalam tempoh 24 jam. Sama juga dengan Che Ibrahim Mohamed.

“Kita kalau boleh nak tahu siapa yang mula-mula mengeluarkan kenyataan itu,” katanya ketika ditemui selepas membuat dua laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini hari ini.

Rosli diriiringi peguamnya Mohd Zamri Ibrahim dan Ketua Pengarah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Pas, Noohisham Abdullah.

Rosli berkatam tindakan tegas akan diambil terhadap individu berkenaan jika tuntutan diendahkan. – MalaysiaGazette