KUALA LUMPUR – Sebarang usaha mencari penyelesaian yang adil dan saksama untuk rakyat Palestin akan menjadi sia-sia selagi kuasa-kuasa Barat dan Amerika Syarikat (AS) menyokong rejim Zionis Israel.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, mereka enggan melihat hakikat bahawa pejuang pembebasan Palestin sebenarnya bertindak balas terhadap ketidakadilan oleh sebuah rejim aparteid yang melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyat Palestin.
Menurut beliau, kuasa-kuasa Barat dan AS juga bersubahat dengan Israel dalam pelaksanaan dasar aparteid, pembunuhan beramai-ramai dan jenayah kemanusiaan.
“Pada masa yang sama, Israel boleh melakukan pembunuhan beramai-ramai dengan sewenang-wenangnya tanpa mempedulikan langsung undang-undang antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Situasi di Gaza semakin buruk dengan menyaksikan hampir 500 penduduk Gaza terkorban dan kira-kira 2,300 orang lagi cedera dalam serangan balas yang dilancarkan rejim Zionis Israel sejak kelmarin.
Dr Mahathir memberitahu, reaksi negara-negara Barat dan jentera mereka termasuk media berhubung konflik terbaharu di Gaza bersifat hipokrit dan berunsur ketaksuban.
Beliau menambah, mereka tidak membicarakan konflik tersebut berdasarkan situasi sebenar, namun sebaliknya meneruskan naratif penipuan kononnya Israel diserang pengganas.
“Mereka secara terang-terangan menyalahkan Hamas, Hezbollah dan Iran.
“Dengan naratif itu, merea mencetuskan ketakutan di dunia Barat, mendakwa bahawa ia adalah serangan ke atas demokrasi dan manusia yang cintakan keamanan,” jelasnya.
Dr Mahathir berkata, atas alasan itu, AS merasakan adalah wajar mereka menghantar bantuan ketenteraan ke Israel untuk bertindak balas atas serangan rakyat Palestin.
“Semua itu tidak benar. Sebaliknya, ia adalah pembohongan secara terang-terangan yang dilakukan tanpa segan silu oleh pemimpin-pemimpin Barat dan media mereka,” katanya.
Beliau memberitahu, apa yang sebenarnya berlaku, selama tujuh dekad, Israel telah melakukan jenayah perang, penyembelihan, pembunuhan beramai-ramai dan pelbagai kekejaman terhadap rakyat Palestin. – MalaysiaGazette