KUANTAN – Keputusan kerajaan mempertimbang untuk menghidupkan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mendapat reaksi positif generasi muda.
Rata-rata mereka berpendapat program yang dimansuhkan pada 2018 itu memberi manfaat kepada generasi muda untuk memperkukuh jati diri dan menambah tahap kemandirian.
“Program ini dapat membina keyakinan diri bagi anak-anak muda yang menyertainya. Pada pandangan saya, ia latihan yang macam askar tu, boleh belajar cara untuk ‘survive‘ walau di mana pun kita,” kata Pravin Raj a/l Ganesh, 19.

Pravin bagaimanapun mengakui tidak pernah merasai pengalaman menyertai latihan PLKN, namun menyambut baik keputusan kerajaan jika mahu menghidupkan semula program itu.
Amer Faizi Kamarudin, 25, yang senada dengan Pravin berkata, remaja sekarang kurang jati diri dan kurang berdisiplin.
“Saya dah bekerja. Ada rakan sekerja yang lepasan belajar ni bekerja sambilan di tempat sama dan mereka datang lambat.
“Kadang-kadang mereka tak boleh terima cadangan atau teguran di tempat kerja dan melawan. Macam kurang berdisiplin pula,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Tambah Faizi, jika kerajaan mahu mengadakan semula program itu, ia boleh pertimbangkan untuk menambah jumlah pengambilan peserta.
Muhammad Amir Kamarudin, 21, bersetuju walau apa jua cadangan kerajaan jika ia membawa kebaikan kepada generasi muda.
“Kalau ia yang terbaik difikirkan kerajaan, saya okay sahaja. Tapi kalau boleh biarlah mereka yang baru habis SPM yang dipilih. Sebab mereka tengah tunggu untuk sambung belajar, boleh menimba pengalaman,” kata Muhammad.

Semalam, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keputusan memperkenal semula PLKN yang dimansuh kerajaan Pakatan Harapan (PH) hanya akan diketahui pada pertengahan 2024.
Beliau berkata, ia masih di peringkat jawatankuasa dan kementerian belum membentangnya kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kabinet.
Namun, jelasnya, pelaksanaan semula PLKN 3.0 adalah satu kemestian bagi membina jati diri dan semangat patriotisme dalam kalangan generasi akan datang. – MalaysiaGazette