Agensi penarafan Fitch Ratings

KUALA LUMPUR  – Permintaan domestik Malaysia yang berdaya tahan dan perbelanjaan pembangunan lebih besar yang digariskan dalam fasa kedua Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) akan menyokong pertumbuhan jangka sederhana yang kukuh pada kadar empat hingga lima peratus, demikian menurut Fitch Ratings.

Agensi penarafan ini memberikan penarafan BBB+ kepada Malaysia dengan unjuran stabil.

Menurut Fitch Ratings, risiko serta-merta terhadap kestabilan kerajaan campuran Malaysia telah berkurangan susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos apabila keputusan PRN menyaksikan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dimenangi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), yang membentuk kerjasama sebagai Kerajaan Perpaduan, manakala Kelantan, Kedah dan Terengganu pula di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

“Kami percaya bahawa keputusan ini cukup untuk memastikan kesinambungan gabungan ini dalam masa terdekat, tetapi kekalahan BN mungkin merumitkan lagi ketegangan antara rakan gabungan untuk jangka panjang,” katanya dalam kemas kini Asia-Pacific Sovereigns (Peer Review).

Berkenaan Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan pada 13 Oktober, Fitch menjangka terdapat langkah rasionalisasi subsidi meskipun penghapusan subsidi secara meluas dan mendadak tidak mungkin berlaku.

“Keputusan pilihan raya boleh mendorong kerajaan untuk menawarkan lebih banyak bantuan sosial.

“Belanjawan 2024 dijangka turut memperkenalkan garis panduan untuk penetapan gaji progresif, walaupun atas dasar sukarela dan berkaitan produktiviti,” menurut agensi penarafan itu. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast