JOHOR BAHRU – Kamarizs Medicare Sdn. Bhd. menjalin kerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi projek pembangunan suplemen koenzim, CoQ10.
Pengarahnya, Datuk Dr Zahir Husain Kamari berkata, projek dengan kerjasama Institut Pembangunan Bioproduk (IBD) UTM itu merupakan inisiatif bagi memperkukuh hubungan industri dengan intitusi pendidikan.
Ia juga akan memantapkan budaya penyelidikan dalam pertumbuhan ekonomi berasaskan inovasi, katanya.
“Formulasi suplemen CoQ10 yang dihasilkan itu adalah yang pertama dibangunkan di negara ini dengan menggunakan teknologi sistem penghantaran ubat yang berkesan, formulasi semulajadi, selamat dan bebas bahan kimia berbahaya serta halal.
“Projek pembangunan suplemen itu bukan saja bagi memupuk kesedaran bagi pencegahan penyakit malah kepentingan penjagaan kesihatan yang tidak ternilai,” katanya pada majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara kedua-dua pihak, hari ini.
Pada majlis tersebut Kamarizs Medicare diwakili Zahir manakala UTM diwakili Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr Rosli Md Illias.
Zahir berkata, projek itu juga antara usaha pihaknya untuk mencapai sasaran menerajui pengeluaran suplemen di negara ini.
“Projek ini melambangkan kesungguhan dalam menghadapi cabaran penyelidikan saintifik dan memberi gambaran berkaitan potensi bagi meningkatkan kesihatan masyarakat serta pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Sementara itu, Rosli berkata, lebih banyak peluang penyelidikan antara universiti dan industri dapat dicapai bagi menghasilkan produk berkualiti tinggi menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D). – MalaysiaGazette
















