SERDANG – Seorang bapa berusaha untuk tidak menolak tawaran melanjutkan pengajian dua orang anaknya walaupun keadaan ekonomi terus menghadapi ketidaktentuan.
Bahkan, bapa kepada pelajar yang ditawarkan ke Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FPAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Lucas Anak Fracis, Bakun, Sarawak bersyukur kesukaran ini mendapat perhatian daripada pihak universiti bagi memudahkan urusan pembayaran yuran anaknya.
“Sebelum ini, saya telah diberhentikan kerja sebagai pembantu pengurus ladang kelapa sawit pada bulan 8 baru-baru ini. Pada masa yang sama seorang anak saya mendapat tawaran belajar di UPM dan seorang lagi di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
“Ini menyebabkan saya berasa sangat sedih pada awalnya kerana saya memerlukan RM6,000 bagi menampung kos pendaftaran dan perbelanjaan kedua-dua orang anak,” katanya.
Namun beliau bersyukur kerana UPM memudahkan urusan ibu bapa yang memerlukan seperti kami. UPM telah memberi peluang kepada anak saya untuk menyambung pelajaran dan mengubah kehidupannya.
“Saya sebagai bapa sangat-sangat bersyukur anak saya diberi peluang mendaftar masuk ke UPM. Hanya dengan pendidikan boleh ubah taraf hidup seseorang. Saya yang bekerja di ladang kelapa sawit dengan pendapatan tidak seberapa ini ingin melihat anak-anak berjaya,” ujarnya.
Tambah beliau, anaknya yang berjaya ditawarkan memasuki UPM telah mendaftar baru-baru ini dengan meredah perjalanan selama empat hari.
Sementara itu, Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN), UPM, turut memberi bantuan kewangan kepada pelajar yang memerlukan menerusi Bantuan Zakat Pelajar seperti bantuan sara diri pelajar, bantuan yuran pengajian dan bantuan latihan industri.
Menurut Pegawai WAZAN UPM, Syazana Masturah Othman berkata permohonan akan dibuka setiap semester mengikut tarikh yang ditetapkan dan setiap bantuan mempunyai ciri-ciri kelayakan yang tersendiri.
“Bagi bantuan yuran pengajian akan dibuka kepada pemohon yang tidak mendapat pinjaman pendidikan, tajaan atau biasiswa sahaja.
“Manakala bantuan sara diri pula dibuka untuk pelajar yang mempunyai tajaan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan mana-mana biasiswa di bawah RM4,000 setiap semester,” katanya.
Tambahnya, bagi pelajar bukan Islam pula bantuan akan diberikan melalui dana endowmen bagi meringankan beban kewangan merka yang berkeperluan. – MalaysiaGazette