Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berharap agar kerajaan menangguhkan sebarang cadangan pelaksanaan cukai baharu tahun depan.

Menurut beliau, penangguhan perlu diberi terhadap cukai keuntungan modal ke atas hasil keuntungan daripada penjualan syarikat yang tidak disenaraikan dalam Bursa Malaysia.

“Pada masa yang sama cukai korporat harus dipotong kepada 20 peratus dan untuk industri kecil dan sederhana kenakan keuntungan bercukai pertama sebanyak RM1 juta pada tahap 15 peratus sahaja.

“Proses pengambilan pekerja asing boleh menjadi telus menerusi dalam talian, levi pelbagai peringkat tanpa had tenaga kerja dengan levi yang lebih tinggi untuk bilangan pekerja asing yang melebihi 100 orang,” katanya menerusi surat bertarikh 21 September 2023 kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Salinan surat yang mengandungi cadangan-cadangan beliau bagi Belanjawan 2024 itu dikongsikan dalam laman Facebook miliknya, hari ini.

Ahli Parlimen Bagan itu turut mencadangkan agar gaji minimum dinaikkan kepada kadar RM2,000 sebulan.

Guan Eng memberitahu, langkah itu adalah bagi mencapai matlamat menaikkan upah median bulanan daripada RM2,600 pada Mac lalu kepada RM4,510 menjelang 2030.

“Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, pertumbuhan ekonomi dan kos sara hidup yang meningkat merupakan cabaran utama.

“Oleh demikian adalah perlu fokus diberikan kepada dua perkara ini,” jelasnya.

Beliau menambah, kerajaan juga perlu mempertimbangkan untuk mewujudkan zon kewangan khas (ZKK) di Pulau Pinang, sama seperti yang diumumkan di Johor Bahru, Ogos lalu.

“Kalau boleh satu untuk selatan mengapa tidaknya satu juga untuk kawasan utara.

“Memandangkan Pulau Pinang kini mempunyai ‘critical mass’ dengan asas sektor pembuatan yang matang, perkembangan sektor perkhidmatan menerusi ZKK ini akan memacu pembangunan bukan sahaja di wilayah utara tetapi untuk seluruh negara,” katanya.

Selain itu, Guan Eng merayu agar kerajaan memulihkan semula perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang yang boleh membawa kenderaan di Butterworth.

“Ia memang menjadi kebanggaan Pulau Pinang. Memang sentimen nostalgia adalah kuat tetapi kedudukannya sebagai satu legasi warisan tidak boleh dipertikaikan dan harus dipulihkan semula,” jelasnya. – MalaysiaGazette