SPRM Terengganu menyita sebuah motorsikal Yamaha jenis Y15Z yang dipercayai hasil suapan yang diterima oleh suspek

KUALA TERENGGANU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seorang juruukur bahan di sebuah universiti di sini atas dakwaan menerima suapan.

Suspek dikatakan menerima sebuah motorsikal Yamaha  Y15Z dan wang suapan keseluruhannya dianggarkan bernilai RM30,000 daripada wakil sebuah syarikat sebagai balasan mengesyorkan kerja-kerja pengubahsuaian bernilai RM3 juta.

Wang tunai itu juga didakwa diterima bagi tujuan mempercepatkan tuntutan bayaran kemajuan kerja syarikat terbabit.

Sumber berkata, suspek lelaki yang berusia 50-an itu ditangkap di pejabat SPRM Terengganu pada pukul 1 tengahari sewaktu hadir memberi keterangan.

Tambahnya, SPRM juga turut berjaya menyita kenderaan motorsikal terbabit pada hari yang sama.

Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu esok bagi mendapatkan permohonan reman.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan siasatan menyeluruh akan dijalankan. – MalaysiaGazette