Anthony Loke.

KUALA LUMPUR – Rangkaian pengangkutan awam darat di Lembah Klang ketika ini merangkumi lapan perkhidmatan rel yang dikendalikan Rapid KL, Keretapi Tanah Melayu dan Express Rail Link.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Rapid KL juga menyediakan perkhidmatan bas berhenti-henti selain pengendali lain di 298 laluan yang menghubungkan hab utama pengangkutan awam darat di Lembah Klang.

Beliau berkata, bagi mengurangkan kos pengguna, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan telah memperuntukkan dana sebanyak RM115 juta setahun untuk inisiatif my50.

“Ia merupakan pas perjalanan tanpa had untuk 30 hari bagi perkhidmatan rel dan bas yang disediakan oleh Rapid KL.

“Di luar Lembah Klang, perkhidmatan bas berhenti-henti menghubungkan pusat-pusat penempatan dengan bandar terdekat,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu beliau menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) bertanyakan perancangan Kementerian Pengangkutan dalam mengintegrasikan pengangkutan awam supaya lebih sistematik dan efisien bukan sahaja di pusat bandar raya, tetapi juga di bandar-bandar kecil dan luar bandar.

Tambahnya, tiga agensi di bawah Kementerian Pengangkutan berperanan menyelaras peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk pengoperasian bas henti-henti intra bandar di bawah program MyBAS dan program bantuan subsidi dana Interim Stage Bus Service Fund (ISBSF) di seluruh negara.

“Bagi menjamin penyediaan perkhidmatan bas berhenti-henti berterusan kepada rakyat yang memerlukan perkhidmatan tersebut, Kerajaan telah memperuntukkan dana sebanyak RM105 juta setahun.

“Ia sebagai bantuan kepada pengendali bas berhenti-henti yang menanggung kerugian operasi untuk terus menyediakan perkhidmatan merangkumi 265 laluan di Semenanjung Malaysia dan 88 jumlah laluan di Wilayah Sabah dan Sarawak.

“Program ISBSF ini juga turut merangkumi Daerah Pekan di mana terdapat satu syarikat yang menyediakan dua bas di dua laluan untuk kemudahan penduduk setempat,” katanya.

Selain itu, kerajaan telah memperuntukkan dana sebanyak RM150 juta pada 2023 bagi membiayai perkhidmatan MyBAS sedia ada dan juga peluasan MyBAS yang sedang diusahakan untuk beberapa bandar lain.

“Ia bertujuan menambah baik perkhidmatan dari aspek kemampanan (sustainability), kebolehharapan (reliability) dan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam.

“Program ini juga dijangka akan dikembangkan ke bandar-bandar lain secara berfasa,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan juga sedang dalam kajian untuk memperkenalkan perkhidmatan bas berdasarkan permintaan atau “Demand Responsive Transit”.

“Ia tujuan meningkatkan kesalinghubungan perkhidmatan pengangkutan awam darat, terutamanya bagi perkhidmatan batuan terakhir yang menghubungkan stesen-stesen rel dengan kawasan petempatan dan lokasi pekerjaan.

“Bagi memastikan prestasi pengangkutan awam di negara ini mencapai tahap baik setanding negara-negara maju, kerajaan akan terus mendaya upaya dan mengukuhkan ketiga-tiga agensi.

“Tiga agensi ini bertanggungjawab mengawal selia dan memantau sistem pengangkutan awam negara melalui pendigitalan perkhidmatan dan penambahbaikan struktur organisasi sesuai dengan keperluan semasa serta peranan yang telah diberikan kepada mereka,” katanya. – MalaysiaGazette