azalina othman said
Azalina Othman Said mempengerusikan Sesi Libat Urus Berkenaan Kedudukan Semasa Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, hari ini. - Gambar: Facebook

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, proses pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya telah bermula hari ini.

Menurut beliau, ia adalah seperti komitmen yang diberikan dan dinyatakan oleh Kerajaan Perpaduan sebelum ini.

“Usaha ini diteruskan hari ini dengan Sesi Libat Urus Berkenaan Kedudukan Semasa Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya di Parlimen,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Sementara itu, dalam kenyataan media, Azalina berkata, sesi tersebut merupakan fasa pertama dalam tiga fasa usaha reformasi pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya seperti dibentangkan beliau di Parlimen pada kelmarin.

Beliau memberitahu, perbincangan itu antara lain memberi fokus kepada pembentangan kajian literatur yang terperinci bagi amalan terbaik meliputi sembilan negara iaitu England dan Wales, India, New Zealand, Australia, Kanada, Afrika Selatan, Ireland, Kenya dan Amerika Syarikat (AS).

“Saya menyeru semua pihak terus memberikan sokongan sepenuhnya kepada Kerajaan Perpaduan bagi memastikan usaha pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya ini dapat dilaksanakan dengan jayanya dengan mengambil kira semua aspek secara menyeluruh,” jelasnya.

Sesi libat urus yang dipengerusikan Azalina itu dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh; Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi, William Leong Jee Keen dan wakil-wakil Jabatan Peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam, serta Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan. – MalaysiaGazette