BERTAM – Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang mengesahkan situasi jerebu yang melanda negeri ini bukan berpunca daripada pembakaran terbuka.
Pengarahnya, Norazizi Adinan berkata, situasi jerebu baru-baru ini berpunca daripada pergerakan angin yang membawa asap dari sumber luar.
Jelas beliau, faktor luaran itu sekali gus menyebabkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa stesen di negeri ini meningkat hingga ke bacaan 100.
“Pembakaran terbuka memang salah satu punca kemerosotan kualiti udara hingga menyebabkan berlakunya jerebu namun situasi itu tidak berlaku di Pulau Pinang.
“Kalau kita lihat, peningkatan IPU selalunya direkodkan di stesen pengawasan kualiti udara Seberang Perai dan Seberang Jaya namun ia berpunca daripada kawasan perindustrian serta jumlah kenderaan yang banyak melalui laluan berkenaan setiap hari.
“Dua kawasan tersebut mudah terdedah dengan pencemaran udara namun ia masih berada di tahap sederhana (bacaan 51-100) berbanding kawasan lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Larangan Pembakaran Terbuka JAS Pulau Pinang di Kompleks Sukan MBSP di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Norazizi berkata, tiada hotspot pembakaran terbuka direkodkan setakat ini kecuali satu amaran palsu yang dikesan melalui satelit membabitkan sebuah kilang di Bukit Minyak.
“Berdasarkan statistik kita terima 376 aduan pembakaran terbuka sejak Januari hingga semalam namun ia membabitkan kejiranan sendiri bukan pertanian.
“Jumlah aduan ini juga menunjukkan penduduk negeri ini prihatin terhadap pencemaran udara serta tidak ragu-ragu untuk mengadu kepada pihak JAS apabila ada jiran atau pembakaran terbuka di tepi jalan.
“Bagaimanapun, kita nasihatkan orang ramai agar elak melakukan pembakaran terbuka kerana ia akan memburukan keadaan serta mempengaruhi bacaan IPU semasa,” kata beliau.
Media tempatan pada 3 Oktober lalu melaporkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim tidak menerima sebarang laporan kebakaran besar dalam negara yang boleh dikaitkan dengan keadaan berjerebu ketika ini.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, laporan kebakaran hutan besar-besaran kali akhir diterima kementerian ialah pada Mei lalu, namun jerebu yang melanda ketika ini berpunca dari negara luar berdasarkan data diperoleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
“Kementerian juga telah berkongsi data (jerebu) dengan negara ASEAN dan pada masa sama, mengingatkan dan menghantar surat kepada syarikat pengusaha ladang Malaysia yang beroperasi di Indonesia supaya tidak melakukan pembakaran secara terbuka,” kata beliau. – MalaysiaGazette