Oleh: Collins Chong Yew Keat

SIDANG G20 yang melabuhkan tirai menyaksikan medan pertembungan kuasa dalam acuan baharu, dalam lensa percaturan strategik pelbagai penjuru untuk mengatur langkah dalam perluasan pengaruh dan kuasa global. Ia kekal menjadi antara pentas geopolitik terpenting dunia, dan sebagai jambatan kepada dua blok yang semakin terasing dari segi ideologi dan polisi global, iaitu G7 dan G77 atau Global South.

India sebagai tuan rumah meraih kemenangan moral dan geopolitik, dalam ketiadaan Xi Jinping dan Delhi terus mengemudi likuan yang rumit dalam memenuhi kehendak kesemua negara anggota terutamanya dalam isu Ukraine. Kebijaksanaan serta kebolehan Delhi dalam meneraju strategi diplomasi dan perundingan di peringkat tertinggi dicerminkan dalam kejayaan untuk menghasilkan Deklarasi akhir, walaupun disambut dengan pelbagai perdebatan dan kritikan. Dalan deklarasi ini, Moscow dikatakan menjadi pemenang, hasil daripada versi yang lebih memihak kepada Rusia dalam kritikan perang di Ukraine.

Biden turut dikritik kerana menerima versi deklarasi tersebut walaupun intipatinya tidak secara langsung mengkritik Rusia. Namun, Washington dan Delhi tetap muncul sebagai peraih kelebihan tersendiri.

Dalam menerima konteks deklarasi itu, Washington tidak kehilangan taring dalam kecaman dan tekanan terhadap Moscow, dan masih mengekalkan kesepaduan global dalam isu Ukraine. Biden juga tidak ingin menyukarkan posisi Modi dengan menolak deklarasi tersebut, dan India kekal kritikal kepada Washington dalam usaha mengekang Beijing.

Tindakan Biden dalam menerima usaha Modi dan deklarasi tersebut juga dicerminkan sebagai satu mesej jelas kepada Beijing bahawa Washington mempunyai kelebihan spektrum pilihan dan fleksibiliti dalam penentuan polisi strategik berkaitan dengan pilihan barisan seteru China yang boleh dijadikan sekutu Amerika, dan ini termasuk menjadikan Moscow sebagai potensi sekutu Washington masa depan untuk berpaling tadah dan menghentikan jaringan pakatan ketenteraan dan sokongan ekonomi dan jaminan sumber dan keselamatan makanan kepada Beijing.

Dalam percaturan quid pro quo ini, Moscow juga akan mengharapkan susun atur dan jaluran pertalian baharu dengan Washington dan usaha penyelesaian isu Ukraine yang akan memberikan gambaran menang-menang kepada kedua-dua pihak. Agenda utama adalah untuk memutuskan rantaian sokongan dan sandaran luar Beijing, yang dilihat sebagai ancaman utama dan paling berbahaya kepada sistem Barat dan kepimpinan Amerika, selain dapat menghentikan tarahan dan pembabitan berterusan kompleks militari Amerika di Ukraine yang tidak menguntungkan Amerika, dimana sumber berkenaan sepatutnya disalurkan terhadap benteng berdepan China dan penyelesaian krisis di sempadan selatan Amerika dengan Mexico. Strategi yang berpaksikan mantra America First ini telah diangkat sebagai elemen utama dasar luar calon pilihanraya Presiden Amerika Syarikat, Vivek Ramaswamy yang kini semakin meningkat dari segi populariti dan penerimaan komuniti Republikan yang melihatnya sebagai versi Donald Trump 2.0 yang seiring dengan latar belakang keusahawanan dan bukan berlandaskan politik, dengan suntikan agenda baharu dan berani.

Potensi kebangkitan Trump dan kembalinya ke persada Presiden pada pilihan raya 2024 ini turut menggusarkan Beijing, dalam terus mengekang pilihan dan strategi perluasan kuasa di Indo Pasifik, agenda di Taiwan serta persaingan sengit ekonomi dan ketenteraan dengan Washington. Justeru, Xi kian tersepit dengan kekangan masa dan himpitan sosio-ekonomi dalaman yang semakin meruncing, dan menyukarkan kapasiti ketersediaan dalam kancah konflik secara berpanjangan atau protracted conflict.

Sekiranya percaturan strategik ini berjaya direncana dalam mengikat paksi Moscow,terutamanya di bawah kepimpinan Presiden Amerika yang lain, Beijing akan terus terkepung dengan jaluran pembendungan kuasa baharu pelbagai penjuru, dan akan dihimpit oleh kuasa bersama Seoul-Tokyo di penjuru Timur, gagasan kapasiti baharu Hanoi dan Manila yang lebih cenderung dengan ketersediaan sokongan Washington di penjuru Selatan, kebangkitan Delhi dan pengaruh lebih efektif di Asia Selatan dalam membendung perluasan pengaruh Beijing di Pakistan, Sri Lanka dan Bangladesh dan membentuk kapasiti paling mengancam kepada Beijing termasuk second front conflict distraction di pertikaian sempadan Himalaya, di penjuru barat daya China, serta potensi cengkaman Moscow serta sekutu rapatnya di Asia Tengah yang membentuk himpitan penjuru barat laut dan utara China.

Bagi India, Rusia dilihat kekal relevan, strategik dan kritikal dalam percaturan jangka panjang usaha Delhi untuk muncul sebagai kuasa ketiga dunia yang akan meraih kepercayaan dan legitimasi tinggi berlunaskan ciri-ciri demokrasi, pembangunan dan governans progresif serta pegangan teguh kepada undang-undang antarabangsa dan norma universal, di mana ini membezakan nadi dan orientasi utama pegangan dan kepercayaan sandaran dasar luar dalam kepimpinan Global South dan BRICS, berbanding Beijing.

Dalam polarisasi ideologi dan persaingan kuasa global yang dicetus oleh konflik blok dan perbezaan sistem dan model ekonomi dan politik dunia yang cuba diketuai oleh Beijing dalam paksi anti Barat, serta blok Barat yang bersandarkan kepentingan memelihara sistem konvensional antarabangsa yang dibimbing oleh model sistemik rules-based order yang diangkat oleh Barat, Delhi memasang strategi baharu untuk menggantikan Beijing sebagai suara Global South melalui mantra multi-alignment dan legasi tersendiri Delhi yang kekal berwawasan dengan pertaruhan strategic neutrality.

Namun, Delhi sedar tentang kepentingan sandaran kedua-dua Moscow dan Washington dalam memastikan kesinambungan keterjaminan hasrat dominasi kuasa baharu dan dalam menentang percubaan Beijing untuk mengekang kemaraannya. Rusia memberikan jaminan penting dari segi keselamatan dan kelestarian sumber makanan dan tenaga, diikuti dengan sokongan aset ketenteraan. Lembah Siberia yang akan meraih hasil dan pulangan tinggi masa depan dalam output pertanian dan sumber makanan akan memberikan jaminan kepada Delhi dari segi keselamatan makanan dan sumber tenaga. Ini diperkasa dengan kedudukan dan pengaruh strategik Rusia ke atas potensi laluan perdagangan baharu Northern Sea Route (NSR) di Lautan Artik yang akan memberikan implikasi langsung kepada impak kerelevanan dan potensi masa depan Lautan Hindi.

Dalam konteks sokongan bersama Barat, Delhi mempunyai kelebihan untuk mengekalkan strategi serampang dua mata dalam meraih jaminan kestabilan serantau dan masa depan India dengan bantuan bertersuan Washington dalam sasaran utamanya terhadap Beijing, dan Delhi sedar tentang kepentingan faktor negara itu kepada percaturan Washington untuk digunakan bukan Sahaja sebagai kuasa penyeimbang dan pengikat kepada Beijing, tetapi lebih kritikal dari segi dijadikan fulkrum untuk memberikan tentangan dua hala kepada Beijing pada masa yang sama, sekiranya konflik tercetus di Taiwan atau Laut China Selatan melalui tentangan di pertikaian di sempadan Himalaya.

Selain itu, India kini dalam proses untuk merencana senario dan simulasi perang dalam membentuk pelbagai rangkaian dan bayangan pilihan dalam tindak balas ketenteraan India sekiranya berlaku konflik di Taiwan. India menjadi sandaran penting dalam konteks ini, dalam memberikan kapasiti sokongan dari segi pembaikian aset ketenteraan di pangkalan dan pelabuhan strategik di India, dan juga bekalan rantaian sokongan makanan dan sumber untuk kapasiti perang kepada pihak Barat dan Kumpulan sekutu lain yang menentang tindakan Beijing di Laut China Selatan atau Taiwan.

India mempunyai kelebihan dependable and expendable fallback option dalam kedua-dua kuasa Moscow dan Washington, dan juga kedua-dua BRICS dan Quad, suatu kelebihan tersendiri di mana Beijing terus ketinggalan dari segi jumlah, keefisienan dan kekuatan sekutu yang boleh dipercayai. India juga berupaya untuk menggembleng kekuatan dan kestabilan tujahan sosio-ekonomi yang teguh, dijangka untuk menjadi kuasa ekonomi ketiga terbesar dunia menjelang 2028 serta kelebihan demografi yang menjadi tunjang kepada kestabilan pertumbuhan ekonomi India.

Bagi China, sekiranya India boleh dipikat untuk menjadi sekutu dan negara jiran bersama yang boleh dipercayai dalam jangka panjang, ini akan menyelesaikan pelbagai kekangan dan dilema China, termasuk isu keselamatan dan keterjaminan makanan, kapasiti usaha mitigasi impak iklim, jaminan keselamatan sempadan dan maritim, dan membentuk barisan dan pakatan teguh dalam berdepan dengan gabungan kuasa Barat. Namun, legasi pertikaian dan jaluran mendalam syak wasangka serta percaturan berbeza kepentingan nasional masing-masing, melahirkan tahap kegusaran dan ketidakpercayaan yang tinggi antara satu sama lain, yang terus menutup ruang bagi sebarang potensi untuk berganding bahu dari segi pulangan geopolitik bagi jangka pendek.

China turut melihat India sebagai duri dalam daging dalam percaturan utama bagi mencapai agenda Chinese Dream 2049, dan melihat kebangkitan India sebagai ancaman terbesar selepas Washington yang dikhuatiri akan menggugat posisi China sebagai kuasa dominan hegemoni Asia dari segi ekonomi, serta pengaruh soft and hard power.

Langkah dan strategi Xi untuk tidak menghadiri G20 ini adalah untuk memberi mesej jelas kepada Modi bahawa ketegangan dan potensi konflik masa depan Delhi-Beijing masih menjadi faktor utama. Usaha Delhi untuk mengekang pengaruh dan perluasan kuasa Beijing melalui String of Pearls yang mengikat India terus menjengkelkan Beijing dan dilihat sebagai ancaman yang akan mengundang kemasukan dan sokongan Amerika, dan pilihan Xi untuk tidak hadir dijadikan sebagai luahan dalam menandakan usaha Beijing untuk terus mempertahankan posisinya sebagai de facto leader kepada Global South dan BRICS.Namun, ia akhirnya menguntungkan Delhi dan Washington dalam mengambil kesempatan power vacuum ini untuk terus melonjak pengaruh dan agenda masing-masing dalam pentas terpenting agenda ekonomi dan keselamatan global.

Ini juga disajikan sebagai mesej kritikal dan langsung kepada Biden dalam usaha untuk melemahkan kedudukan dan prestij antarabangsa Biden untuk memaksa pentadbiran Biden dalam mengurangkan skop embargo dan sekatan teknologi dan perdagangan yang dikenakan, serta sebagai cerminan kemarahan Beijing terhadap mixed signals yang diberikan oleh pentadbiran Biden yang telah menyatakan pendirian bahawa Amerika tidak berhasrat untuk mengepung dan mencetus konflik dengan Beijing tetapi pada masa yang sama terus melipatgandakan usaha friendshoring dan pengukuhan sekutu dan rakan keselamatan lain sejak awal tahun ini, di samping melonjak usaha tersusun untuk mengekang kapasiti teknologi semikonduktor Beijing.

Percaturan yang disajikan di G20 ini memberikan pulangan berbeza, dan India terus bijak dan strategik dalam menyuntik lembaran dan persada pengaruh dan kuasa alternatif ketiga terbaharu kepada pentas dunia. Washington kekal menjamin strategi mempertahankan pengaruh dan kepercayaan sistem undang-undang dan norma antarabangsa, manakala Beijing berdepan jalinan sekutu yang lebih komprehensif dan tersusun yang dipacu oleh Delhi dan Barat dalam mendahului perlumbaan percaturan minda dan impak kuasa dan power posturing.

Penulis merupakan Penganalisis Strategi dan Hubungan Antarabangsa,
Universiti Malaya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast