PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan, di sini, hari ini menggantikan hukuman mati seorang pengumpul besi buruk kepada penjara 35 tahun yang didapati bersalah membunuh isterinya dengan menyimbah minyak petrol ke tubuh wanita itu sebelum membakar mangsa.
Bagaimanapun, panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azizul Azmi Adnan tidak mengenakan hukuman sebatan ke atas V. Mathiyalagan kerana dia berusia melebihi 50 tahun.
Hadhariah, yang mempengerusikan panel itu berkata, kesalahan Mathiyalagan adalah serius.
Beliau berkata, selepas menimbang fakta bahawa tertuduh menghidap penyakit buah pinggang serta sedang menjalani rawatan dialisis, hukuman penjara 35 tahun adalah mencukupi dan memerintahkan Mathiyalagan menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap iaitu 26 Mei 2017.
Pada 24 Disember 2019, Mathiyalagan, 48, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar selepsa didapati bersalah membunuh R.Ratna, 44, di rumah mereka di Taman Arked, Sungai Petani, Kedah pada 12 tengah hari 26 Mei 2017.
Pada mulanya Mathiyalagan merayu terhadap sabitan dan hukuman mati namun menarik balik rayuan berhubung sabitan hari ini yang kemudian dibatalkan oleh mahkamah.
Bagaimanapun, dia meminta mahkamah menggantikan hukuman mati yang dijatuhkan terhadapnya kepada penjara.
Pada prosiding hari ini, peguam T.Jayaraj memohon mahkamah agar menggunakan kuasa budi bicaranya untuk berbuat demikian.
Beliau meminta mahkamah mengenakan hukuman penjara 30 tahun atas alasan anak guamnya menghidap penyakit buah pinggang dan terpaksa menjalani dialisis tiga kali seminggu.
Timbalan Pendakwa Raya, Noorhisham Mohd Jaafar, yang bersetuju hukuman mati tertuduh digantikan dengan penjara, pula berkata tempoh 30 tahun tidak memadai dengan kesalahan dilakukan kerana Mathiyalagan turut terlepas daripada sebatan.
Mengikut fakta kes, mangsa sedang memotong ayam di dapur apabila tertuduh tiba-tiba datang dari arah belakang dan menyimbah minyak petrol ke tubuhnya sebelum menyalakan api yang menyebabkan wanita itu mengalami kecederaan terbakar tahap satu dan dua.
Mangsa kemudian dibawa ke hospital serta meninggal dunia pada 6 Jun 2017 dan punca kematiannya adalah akibat komplikasi melecur yang teruk.
Mahkamah Rayuan turut menggantikan hukuman mati seorang kontraktor Mohd Hafiz Mohamad kepada penjara 35 tahun dan 12 sebatan bagi kesalahan membunuh bakal abang iparnya Muhamad Shukri Husin, 34, di luar Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu pada 11.39 pagi 16 Oktober 2016.
Hadhariah memerintahkan Mohd Hafiz menjalani hukuman penjara mulai tarikh dia ditangkap iaitu pada 19 Oktober 2016.
Mohd Hafiz, 36, didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 28 Ogos 2019.
Peguam Mazlan Md Zain meminta mahkamah mengenakan hukuman penjara 30 tahun namun Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Abdul Karim@Husaini memohon tempoh antara 35 hingga 40 tahun atas alasan Mohd Hafiz telah menikam mangsa berkali-kali menggunakan sebilah pisau yang mengakibatkan luka sedalam 9 sentimeter pada bahagian dada si mati. – Bernama
Terbaik lah bila kerajaan ubah hukuman mati kpd penjara saja…penjenayah2 dan pembunuh ni hidup ditanggung, makan free selama 30 tahun dengan duit pembayar cukai..