KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori tangki maut apabila kenderaan yang dipandunya jatuh ke dalam gaung di di Kilometer 28.7 Lebuh Raya Latar, Rawang, Selangor hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, bilik gerakan operasi bomba negeri menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 5.24 petang.
“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota bersama sebuah van EMRS serta sebuah jentera pemadam dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP Rawang) telah bergegas ke lokasi kejadian itu.
“Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori tangki yang membawa minyak hitam jenis Mitsubishi Fuso bermuatan 3 tan disyaki hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan sebelum terjatuh dalam gaung pada kedalaman 20 kaki,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, berikutan insiden itu, seorang lelaki berusia lingkungan 50-an yang dipercayai pemandu lori berkenaan telah tercampak keluar daripada kenderaan tersebut mengakibatkan mangsa telah mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan.
Menurut Ahmad Mukhlis, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – MalaysiaGazette