Pegawai penyiasat kanan 1MDB, Foo Wei Min hadir ke mahkamah bagi memberi keterangan dalam perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Komplek Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 12 OKTOBER 2023

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa telah menerima dana berjumlah AS$681 juta (RM2.08 bilion) daripada Tanore Finance Corporation (Tanore).

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), ACP Foo Wei Min yang terlibat dalam penyiasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berkata, beliau menyiasat akaun Ambank milik Najib yang berakhir dengan nombor 694 dengan menggunakan kaedah siasatan First In, First Out (FIFO) bagi menentukan wang itu bersih atau haram.

Katanya, beliau dapat menentukan status wang tersebut berdasarkan transaksi kemasukan wang daripada Tanore ke dalam akaun 694 manakala wang bersih adalah wang yang sememangnya wujud atau pun daripada sumber lain yang tidak berkaitan 1MDB

Wei Min memberitahu, hasil siasatan terhadap wang haram syarikat dana strategik, Tanore sebanyak AS$681 juta ke dalam Akaun AmBank 694 dapat diasingkan daripada sumber lain dan wang sedia ada.

“Saya telah ambil kira kemasukan wang dari tarikh mula akaun dibuka. Kemudian saya telah tolak jumlah tersebut dengan penggunaan wang oleh Datuk Seri Najib berdasarkan transaksi pada penyata akaun Ambank 9694.

“Ia ditolak sehingga wang yang telah mula-mula masuk di dalam akaun tersebut habis digunakan,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar, hari ini.

Najib berhadapan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Saksi ke-48 itu berkata, akaun Tanore yang didaftarkan di Singapura telah dibuka di Falcon Private Bank pada 2 November 2012 yang mana pemiliknya ialah Tan Kim Loong.

Kim Loong sekutu sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Wei Min berkata, berdasarkan penyata akaun 694 beberapa transaksi penggunaan wang telah diterima daripada Tanore iaitu lima cek berbeza antara 2 Ogos dan 14 Ogos 2013 berjumlah RM22,649,000.

“Analisis FIFO ke atas akaun 694 mendapati sebanyak lima transaksi melibatkan penggunaan wang haram 1MDB GIL peringkat Tanore telah dikenal pasti menerima dana haram 1MDB GIL menerusi cek-cek yang dikeluarkan daripada akaun 694.

“Semua cek-cek berkenaan adalah ditandatangani oleh Datuk Seri Najib sendiri,” ujarnya di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Dalam keterangannya, Wei Min memberitahu, çek pertama berjumlah RM20 juta telah ditunaikan ke dalam akaun UMNO pada 2 Ogos, cek kedua sebanyak RM100,000 masuk ke dalam akaun UMNO Batu Kawan pada 7 Ogos.

“Seterusnya sejumlah RM246,000 pula masuk ke akaun ahli perniagaan Lim Soon Peng pada 7 Ogos, wang bernilai RM2 juta mengalir ke akaun Orb Solutions Sdn Bhd pada 12 Ogos dan sebanyak RM303,000 ditunaikan oleh Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd pada 14 Ogos,” ujarnya.

Dalam pada itu, mahkamah ditangguhkan kepada Rabu hadapan dengan Wei Min akan menyambung keterangan.

Collin menetapkan beberapa tarikh tambahan bagi prosiding 1MDB pada awal tahun depan iaitu antara Januari sehingga Februari 2024. – MalaysiaGazette