Pemandangan bangunan Menara Telekom dan sekitarnya kelihatan kabur berikutan jerebu ketika tinjauan Malaysia Gazette di Menara Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 23 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Malaysia terpaksa menanggung kos yang besar ekoran jerebu yang melanda negara.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, jerebu yang melanda negara ini mengakibatkan peningkatan kepada kes kemasukan ke hospital sebanyak dua kali ganda.

“(Kemasukan ke hospital) meningkat secara ketara apabila diterjemahkan dalam hari-hari, pekerja juga tidak dapat ke tempat kerja.

“Sebab itu saya faham keprihatinan dan ramai yang merasakan pendekatan yang kita ada buat masa ini tidak mencukupi untuk tangani (jerebu).

“Sebab itu kita percaya sememangnya ASEAN ini kita dapat bergerak dengan lebih baik jika kita bergerak bersama,” katanya menjawab pertanyaan tambahan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Nik Nazmi bagaimanapun tidak dapat memperincikan sejauh mana kos yang terpaksa ditanggung Malaysia dan akan memberikan jawapan secara bertulis.

Terdahulu, Nik Nazmi berkata, tiada peruntukan undang-undang khas yang boleh dikuatkuasakan kepada syarikat atau negara yang menjadi punca kepada jerebu rentas sempadan di negara.

“Perundangan yang kita ada iaitu Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) bertujuan mencegah, menghneitkan dan mengawal pencemaran alam sekitar yang dikuatkuasakan dalam negara sahaja.

“Berkenaan jerebu rentas sempadan yang dikaitkan dengan pembakaran terbuka di Sumatera dan Kalimantan, buat masa ini kerajaan mengambil pendekatan diplomasi dan berpandangan bahawa rundingan adalah jalan terbaik untuk kita tangani isu pencemaran udara,” katanya lagi.

Dalam pada itu, dua kawasan di Johor merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tahap tidak sihat setakat 9 pagi tadi.

Menurut laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Jabatan Alam Sekitar, dua kawasan berkenaan ialah Batu Pahat dengan bacaan IPU 155 dan Larkin 122. – MalaysiaGazette