Shidan Kassim

KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mencadangkan agar  derma bencana yang dikutip badan bukan kerajaan (NGO) diserahkan sekurang-kurangnya 95 peratus kepada penerima.

Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) berkata, beliau pernah bertemu NGO yang mendakwa mereka berjaya mengumpul RM24 juta dan daripada jumlah itu, sebanyak 12 peratus disimpan untuk operasi manakala yang selebihnya diserahkan kepada penerima sumbangan.

“Saya tak pasti tapi apakah kerajaan akan menetapkan supaya semua NGO yang kutip derma ini, sekurang-kurangnya 95 peratus diberi sumbangan.

“Sebab orang yang nak kutip derma ini, berilah kepada yang ada kemampuan sebab kita yang bagi derma ini mahu sumbangan kita sampai kepada tempat yang kita derma,” katanya dalam soalan tambahan di Dewan Rakyat, hari ini.

Shahidan berkata demikian ketika bertanya soalan tambahan kepada Menteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau juga mencadangkan kerajaan menetapkan tempoh untuk mengutip derma kerana ada pihak yang berterus meminta derma walaupun bencana sudah tamat.

Dalam pada itu, Armizan berkata, setakat ini tiada undang-undang yang mengawal selia kutipan dema bagi bencana yang bukan diuruskan kerajaan.

Begitupun, katanya, kerajaan kini sedang meneliti dari aspek pengurusan dan kerangka perundangan dalam mengatasi isu tersebut. – MalaysiaGazette