Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din bertukar sebagai Pengarah JKDNKA menggantikan Datuk Seri Hazani Ghazali. Foto FAREEZ FADZIL, 17 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memulakan siasatan membabitkan seorang warga Malaysia yang ditahan bersama dadah jenis syabu oleh pihak berkuasa Australia awal Oktober ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman,  berkata, berikutan laporan media Australia mengenai tangkapan empat lelaki  bersama 662 kilogram dadah disyaki Methaphetamine atau syabu di Melbourne PDRM sedang bekerjasama dengan polis Australia bagi menjalankan siasatan.

“Segala tindakan akan diambil bagi memastikan kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah yang menjadi ancaman negara dapat dibanteras tanpa kompromi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Polis Australia hari ini berkata, bekalan dadah tiba di Melbourne menerusi kargo laut dari Malaysia pada 4 Oktober lalu.

Nilai keseluruhan rampasan dadah berkenaan dianggarkan berjumlah A$560 juta (RM1.691 bilion).

Daripada empat orang suspek yang ditahan itu, dua merupakan warga China berusia 33 tahun, seorang warga Malaysia berusia 34 tahun dan seorang lagi suspek warga Hong Kong berusia 32 tahun dan ditahan pada malam Rabu.

Polis Australia juga mengesahkan bahawa dua daripada mereka telah ditahan secara berasingan di lapangan terbang semasa cuba meloloskan diri menggunakan penerbangan udara dari Australia.

Kesemua mereka akan didakwa atas kesalahan membawa masuk dadah yang boleh membawa hukuman penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan oleh kerajaan Australia. – MalaysiaGazette